Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Bahiyah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Dalam mendepani era Revolusi Industri 4.0, kita hendaklah lebih kreatif dalam memperkasakan Bahasa Melayu kerana ia merupakan jati diri bangsa Brunei yang wajar diperkasakan oleh setiap peringkat masyarakat di negara ini.
Untuk merealisasikan hasrat yang murni itu, ia memerlukan sinergi semua pihak baik dalam kalangan kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan mahupun dalam kalangan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan orang perseorangan di negara ini.
“Semua pihak memainkan peranan yang amat mustahak ke arah menyedari kepentingan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian kita senegara, demi mengangkatnya ke martabat yang selayaknya.”
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Haji Nazmi bin Haji Mohamad menekankan perkara itu semasa merasmikan Sambutan Bulan Bahasa 2022 dan Kegiatan-kegiatan Sepanjang Tahun 2022 serta Pelancaran Buku-buku Terbaharu di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas, hari ini dengan tema ‘Memperkasa Bahasa Melayu’.
Pada majlis itu, beliau turut menyeru semua untuk sama-sama meningkatkan usaha melalui pendekatan senegara u sama-sama giat memartabatkannya terutama dalam mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
“Kerancakan Revolusi Industri dan bahana COVID-19 telah banyak mengubah gaya hidup dengan norma baharu dan ini sudah setentunya tidak bermakna kita juga perlu mengubah kebudayaan, apalagi kegunaan Bahasa”.
Beliau seterusnya menegaskan, ini bukan menjadi batu penghalang bagi masyarakat untuk belajar bahasa asing kerana ilmu itu banyak bersumberkan bahasa asing.
“Tinggal saja kebijakan untuk memanfaatkan ilmu dan kecanggihan teknologi, di samping menyaring budaya-budaya yang bersesuaian dengan falsafah negara iaitu falsafah Melayu Islam Beraja. Ini bertujuan supaya identiti dan jati diri tetap terjaga dan terpelihara,” jelas beliau.
Katanya, “Di sinilah pentingnya langkah-langkah bagi Bahasa Melayu terus dimartabatkan dan diperkasakan dengan penganjuran pelbagai inisiatif dan aktiviti secara pendekatan senegara”.
Untuk terus memperkasakan Bahasa Melayu, beliau seterusnya menyeru untuk sama-sama melihat ke hadapan dengan mengukuhkan dasar yang telah dimantapkan dalam Perlembagaan Negeri Brunei 1959, surat-surat keliling, perundangan, dan program pemerkasaan Bahasa Melayu agar bahasa rasmi ini terus diguna pakai dan diamalkan oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam agar ia kekal sebagai sebuah bahasa dunia yang berilmu tinggi.
Beliau seterusnya menambah, dalam mendukung hasrat itu, kumpulan penutur Bahasa Melayu perlu terus memainkan peranan utama untuk terus mengembangkannya dalam landasan masing-masing dengan lebih terancang, menggunakan daya ungkap yang tinggi dan bermutu.