Perlu lebih tegas untuk tingkatkan vaksinasi

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu bersedia untuk melaksanakan langkah lebih tegas dalam program pemvaksinannya bagi menangani penularan varian Delta yang semakin mengganas, bukan sahaja di negara ini tetapi juga di seluruh dunia, kebelakangan ini.

Terbukti varian itu tidak mampu dikekang menerusi langkah pencegahan biasa, sekali gus menyukarkan lagi usaha untuk membentuk imuniti kelompok.  Justeru, cukup-cukuplah bagi muka kepada golongan antivaksin.   

Persatuan Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat pada 3 Ogos lepas menganggarkan angka yang diperlukan bagi membentuk imuniti kelompok ialah 90 peratus daripada populasi berbanding 60 hingga 70 peratus sebelum ini, gara-gara kemunculan varian Delta itu.

Kenyataan itu menyusuli laporan Washington Post pada 30 Julai yang memetik Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat bahawa ‘peperangan’ menentang COVID-19 kini berubah berikutan strain baharu tersebut menyebabkan jangkitan yang lebih teruk selain lebih mudah berjangkit. 

Varian itu yang pertama kali dikesan di India, kini merebak ke 132 negara termasuk Malaysia dan mampu menjangkiti mereka yang telah menerima dos lengkap vaksin. Malah, selepas dijangkiti, mereka yang telah divaksinasi ini juga boleh menyebarkan virus itu kepada orang lain dengan mudah.

Dr Vinod Balasubramanian daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah di Monash University Malaysia. – Bernama
Warga menunggu giliran untuk menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 Negeri Pahang Daerah Lipis di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah. – Bernama
Kajian yang dibuat menunjukkan dua dos vaksin Pfizer dan AstraZeneca mempunyai keberkesanan lebih 50 peratus dalam melawan varian baharu. – Bernama
Malaysia perlu menukar strategi antaranya menetapkan sasaran 90 peratus penduduk divaksinasi berbanding 80 peratus sebelum ini. – Bernama

Memang berita itu tidak enak untuk dihadam, sementelah majoriti masyarakat sudah penat menanggung kesengsaraan dalam pelbagai bentuk sejak pandemik berkenaan dikesan di negara ini pada awal tahun lepas.

Oleh itu Malaysia perlu menukar strategi, antaranya menetapkan sasaran 90 peratus penduduk divaksinasi berbanding 80 peratus sebelum ini. Jika keputusan itu bermakna vaksinasi perlu diwajibkan, maka wajibkan.  

Pakar virologi, Dr Vinod Balasubramanian daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah di Monash University Malaysia berkata kadar pemvaksinan juga perlu dipertingkat.

“Kita perlu pastikan penduduk divaksinasi secepat mungkin. Vaksin satu-satunya perisai untuk kita kurangkan impak varian Delta,” katanya, menambah langkah wajibkan vaksinasi tidak lagi boleh dielak susulan kemunculan varian tersebut.

Sekalipun strain itu boleh menjangkiti mereka yang telah divaksinasi, angkanya jauh rendah berbanding yang tidak divaksinasi dan jika kesemua penduduk di satu-satu kawasan telah divaksinasi, angka jangkitan dijangka turun lebih jauh.

Sekalipun pakar kesihatan awam dan ekonomi bersetuju perlu ada dasar untuk memastikan semua penduduk divaksinasi, mereka bercanggah pendapat dari segi bila dan bagaimana dasar itu harus dilaksanakan. 

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata buat masa ini, vaksinasi tidak perlu diwajibkan ke-rana program pemvaksinan berjalan lancar selain permintaan masih mengatasi bekalan.

“Kita boleh wajibkan vaksinasi apabila keluk sudah landai,” katanya. 

Malaysia merupakan antara negara yang merekodkan kadar pemvaksinan terpantas di dunia dan menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin, kira-kira 50 peratus penduduk dijangka menerima dos lengkap vaksin menjelang akhir bulan ini.

Lembah Klang mendahului kawasan lain dengan 100 peratus penduduk dewasa yang berdaftar dengan MySejahtera dijangka lengkapkan vaksinasi mereka menjelang September. Namun, angka itu hanya merangkumi 70 peratus penduduk di kawasan tersebut, iaitu tidak cukup untuk mengekang penularan Delta.

Setakat 4 Ogos lepas, 87.1 peratus daripada sasaran 24.2 juta penduduk telah berdaftar untuk vaksinasi. Namun, berdasarkan kajian mengenai sikap rakyat Malaysia terhadap vaksin COVID-19 yang merangkumi 83.3 hingga 94.3 peratus penduduk, proses pendaftaran di negara ini dijangka memperlahan tidak lama lagi.  

Pihak berkuasa masih belum bersedia untuk mewajibkan pendaftaran buat masa ini kerana bimbang langkah itu akan menyebabkan mereka yang berada ‘atas pagar’ terus enggan divaksinasi. Sebagai usaha meyakinkan ke-lompok tersebut, kerajaan menawarkan ‘kebebasan’ kepada yang telah divaksinasi menerusi pasport vaksin.   

“Kita harap (ini) akan meningkatkan jumlah pendaftaran kepada mereka yang enggan berdaftar,” kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin pada 28 Julai lepas di Parlimen.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata antara kebebasan yang mungkin dapat dinikmati oleh mereka yang telah divaksinasi ialah makan di restoran, merentas negeri atau bersukan.

Berdasarkan pengalaman negara lain, insentif sedemikian tidak begitu berjaya dalam menawan hati golongan berkenaan. Lain pula ceritanya jika langkah itu diperkenalkan bersekali dengan tindakan lebih tegas.

New York Post melaporkan di New York, kadar vaksinasi meningkat 40 peratus selepas Datuk Bandar Bill Blassio memberikan pilihan kepada kakitangan dewan bandar raya itu sama ada divaksinasi atau berdepan ujian COVID-19 secara mingguan, selain memberikan baucar hadiah AS$100 bagi mereka yang telah disuntik vaksin.

Di Malaysia, majikan tidak boleh menjadikan vaksinasi sebagai syarat untuk bekerja dengan mereka seperti yang diperuntukkan dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Bagaimanapun, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata majikan boleh menjadikan vaksinasi sebagai syarat pengambilan pekerja baharu.   

Katanya majikan juga boleh menghalang pekerja sedia ada daripada memasuki premis tempat kerja sekiranya mereka enggan divaksinasi tanpa alasan kukuh atau sehingga pandemik berakhir.

“Tanpa vaksinasi, pekerja tidak dibenarkan bekerja atau diletakkan sebagai bercuti tanpa gaji sehingga Malaysia bebas daripada COVID-19,” katanya.

Ramai pakar berpandangan vaksin harus diwajibkan untuk sektor tertentu yang berurusan dengan masyarakat umum seperti penjagaan kesihatan, pelancongan, pembuatan, pendidikan serta peruncitan.

Antara insentif yang mereka cadangkan ialah hari cuti tambahan dan juga sedikit bonus.

Ini kerana kata Syed Hussain, persekitaran yang selamat untuk pekerja dan pelanggan adalah demi kepentingan semua.

“Pekerja harus faham, vaksinasi bukan hanya tentang tempat kerja. Mereka perlu divaksinasi bagi melindungi diri mereka, rakan sekerja dan juga pelanggan mereka,” katanya. – Bernama