Perlu peka, responsif terhadap perubahan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Sebagai benteng pertahanan dalam menjaga keamanan dan kedaulatan Negara Brunei Darussalam, dua perkara utama yang memberikan impak kepada keupayaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang perlu ditekankan ialah kesiapsiagaan aset gerakan (operational asset readiness) dan tumpuan kepada anggota.

Kedua-dua perkara itu ditekankan oleh Pemerintah ABDB yang baharu, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Pemerintah ABDB yang berlangsung di Bolkiah Garison, hari ini.

Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah berkata memandangkan kebanyakan aset ABDB sudah menjangkau usia yang lama, beliau menyeru supaya perancangan keupayaan akan datang melalui pengenalan keupayaan baru dapat diteliti dengan mengambil kira akan cabaran-cabaran geostrategik yang lebih mencabar dan kompleks.

“Kita bukan sahaja memerlukan aset yang baharu, tapi kita juga harus memikirkan cara kita berjuang atau cara operasi kita pada masa akan datang. Ini memerlukan pendekatan dan pemikiran di luar kotak sambil mengekalkan keupayaan-keupayaan asas.”

Beliau juga menyarankan setiap angkatan tentera haruslah memaksimumkan keupayaan aset dalam konteks meningkatkan keupayaan yang sedia ada di mana usaha itu harus dijadikan projek bagi setiap angkatan tentera dalam meningkatkan keupayaan masing-masing.

Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan (kiri) dan Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah selepas menyempurnakan serah terima tugas pemerintah ABDB.

Sementara itu, melihat di luar ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah berkata bahawa kita berdepan dengan berbagai-bagai cabaran di mana dalam persekitaran operasi masa kini dan dalam era globalisasi, senario ancaman telah berubah dan menjadi bukan tradisional dalam domain yang kontemporari.

Beliau berkata bahawa ABDB sebagai sebuah institusi pertahanan, hendaklah peka dan responsif terhadap perubahan di mana harus sentiasa relevan dan adaptif terhadap perubahan serta bersedia untuk membawa ABDB menjadi sebuah angkatan tentera yang mahir dalam teknologi.

Dalam persekitaran operasi masa kini, domain peperangan telah berubah dan semakin menjurus kepada peperangan siber dan ini membawa angkatan tentera untuk meningkatkan teknologi siber serta menjadikannya salah satu keupayaan teras.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru untuk meneruskan inisiatif dan usaha dalam menubuhkan pertahanan siber di ABDB.

Terdahulu, Mantan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud dalam ucapannya mengimbas kembali pencapaian dan kemajuan yang signifikan yang diraih semasa menerajui tampuk kepimpinan ABDB termasuk peningkatan status boleh guna aset-aset ABDB, penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Belanjawan ABDB, pembinaan bangunan baru Pejabat Pengambilan ABDB, penubuhan Pusat PRIHATIN ABDB dan peningkatan kemampuan operasi dari segi Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (ISR) di ABDB.

Beliau turut menasihatkan supaya semua anggota ABDB untuk sentiasa bekerjasama dan mengamalkan SEPADU iaitu aspek-aspek Sekuriti, Kecekapan (Efficiency), Piawaian, Agama, Disiplin serta Keupayaan Aset dan Anggota demi menjada maruah dan kemajuan ABDB serta ke arah merealisasikan misi dan visi di samping mendukung Wawasan Negara 2035.

Majlis diteruskan dengan Upacara Menandatangani Sijil Serah Terima Tugas Jawatan Pemerintah ABDB di antara Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan dan Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah serta diikuti dengan Doa Selamat yang dibacakan oleh Ketua Jabatan Agama ABDB (JAMA’AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim, TLDB, bagi memberkati upacara tersebut.

Sebelum upacara penye-rahan jawatan yang diadakan hari ini, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan telah berkesempatan mengadakan beberapa siri lawatan persaraan ke unit-unit ABDB yang termasuk Tentera Laut Diraja Brunei, Tentera Udara Diraja Brunei, Institut Latihan ABDB, Rejimen Pasukan Khas ABDB, Akademi Pertahanan ABDB dan Kementerian Pertahanan.

Siri lawatan persaraan berkenaan bermula sejak 11 Ogos 2020 dan berakhir dengan lawatan ke Tentera Darat Diraja Brunei pada 31 Ogos 2020.