Perlu proaktif timba ilmu

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Kecemerlangan daripada segi akademik merupakan salah satu elemen untuk menghasilkan generasi muda yang berkualiti dan mempunyai jati diri yang ampuh.

Intelek pula merupakan faktor perdana untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa.

Ahli-ahli Pasukan Pengakap Kelana 1102 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA Rover Scout Crew 1102) perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam bilik darjah tetapi juga menuntut segala pengetahuan di luar bilik darjah.

Sehubungan dengan itu, seramai 24 orang ahli Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA telah mengikuti kursus kepimpinan jati diri dan istiadat melantik ahli Pengakap Kelana yang berlangsung di Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD), Kem Batang Duri, Daerah Temburong, baru-baru ini, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, di sini, hari ini.

Kenyataan menyatakan bahawa kursus dihasratkan untuk melahirkan ahli-ahli Pengakap Kelana UNISSA yang berkualiti serta memiliki kekuatan mental dan fizikal untuk menempuhi segala cabaran serta dibimbing supaya melakukan kerja-kerja amal dan kemasyarakatan agar mereka menjadi insan yang berakhlak mulia dalam melahirkan masyarakat yang harmoni juga merupakan generasi harapan bangsa yang bakal menerajui negara pada masa akan datang.

Di samping itu, kursus kemahiran jati diri berkenaan adalah untuk membentuk sifat-sifat kecekalan dan ketahanan diri serta mental ahli-ahli Pengakap Kelana UNISSA dalam menghadapi sebarang cabaran yang di luar kebiasaan mereka.

Ahli Pengakap Kelana UNISSA bergambar ramai bersama pegawai dan jurulatih OBBD serta jurulatih pengakap. – Gambar oleh PPNBD