Perlu pusat berpantang yang lebih selamat untuk ibu dan anak damit

KUALA LUMPUR – Menimang cahaya mata pertama adalah saat paling bahagia untuk pasangan Adrian dan Shirley (bukan nama sebenar) yang mendirikan rumah tangga pada tahun 2015.

Seperti kebanyakan wanita yang baru bergelar ibu, Shirley membuat keputusan untuk tinggal di pusat penjagaan untuk ibu berpantang selama 30 hari bagi memulihkan semula kesihatannya selepas melahirkan anak damit sulungnya. Sepanjang tempoh itu. Shirley mendapatkan khidmat seorang pengasuh untuk menjaga anak damitnya.

Namun, apa yang diharapkan oleh Shirley dan suaminya daripada pusat penjagaan itu tidak menjadi kenyataan.

“Anak damit lelaki saya akan berjaga berjam-jam selepas waktu tengah malam dan mahukan susu, walaupun saya sudah memberikan susu badan. Selepas bagi susu, dalam masa dua jam anak damit saya akan menangis lagi nakkan susu. Ini anak pertama kami dan kami memang mahu memberikannya susu ibu. Saya cuba mendapatkan bantuan pengasuh untuk menjaga anak damit saya.

“Pengasuh ini macam tak setuju saya beri susu badan dan menggesa saya memberi anak damit saya susu formula (FM). Saya mestilah tak setuju tapi dia terus buat susu FM dan paksa anak damit saya menghisap puting susu botol.

Perunding Pakar Sakit Puan (O&G) KPJ Tawakkal KL, Dr Patricia Lim Su-Lyn. – Bernama
Wanita yang mengandung mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk mengalami perubahan dalam tubuhnya untuk mengandungkan anak damitnya. – Agensi
Menjadi amalan biasa untuk si ibu menjalani amalan berpantang di pusat penjagaan atau mengambil khidmat orang yang boleh menjaganya dan anak damitnya di rumah semasa tempoh berkenaan. – Gambar hiasan

“Saya nampak anak damit saya macam tak nak hisap puting tu, dan saya minta pengasuh tu jangan paksa anak saya. Dia asyik kata anak saya lapar dan susu badan saya tak cukup untuk membuatkan anak saya kenyang. Bila saya tinggikan sedikit suara saya, baharulah dia berhenti paksa anak damit saya hisap puting susu botol,“ Shirley berkongsi pengalamannya dengan Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata setakat yang dia tahu, tidak ada saluran sesuai untuk pengguna membuat aduan terhadap amalan yang tidak wajar dibuat di pusat penjagaan.

“Ini penting untuk memastikan pusat penjagaan dan pelanggan dilindungi daripada segi hak, kesihatan dan keselamatan, “ katanya.

Pengalaman yang tidak menyenangkan dengan pengasuh anak damit turut dikongsi Melanie (bukan nama sebenar) selepas melahirkan anak ketiganya pada tahun 2017.

Beliau mengambil seorang perempuan berusia pertengahan 50an pada awal tahun 2018 untuk menjaga dirinya dan anak damitnya dengan bayaran RM4,000 serta RM200 ‘Ang Pow’, menurut tradisi orang Cina.

Melanie mengupah seorang Pui Yuet (perempuan yang menjaga ibu dalam pantang dalam bahasa Cina) untuk tinggal di rumahnya selama 30 hari sepanjang tempoh berpantang. Selain menjaga anak damit, dia juga perlu memasak.

“Teruk sungguh perempuan tu. Anak damit saya jadi sakit dengan hidung tersumbat, selesema dan demam. Saya syak anak damit saya dapat penyakit ni daripada perempuan tu. Saya nampak dia batuk kuat tak berhenti dan bersin semasa memegang anak damit saya. Dia kata dia tak sakit.

“Saya juga perhatikan dia pengotor. Dia tak cuci botol susu anak saya dengan air panas, tak cuci tangan selepas ke tandas dan terus pegang anak damit saya dan beri susu botol. Sejak tu, saya tak percaya Pui Yuet. Saya memilih tinggal di pusat penjagaan apabila melahirkan anak saya yang keempat, “ kata ibu kepada empat orang anak ini.

Amalan berpantang

Perunding Pakar Sakit Puan (O&G) KPJ Tawakkal KL, Dr Patricia Lim Su-Lyn berkata, berpantang adalah amalan tradisi selepas bersalin bagi membolehkan ibu berehat dan pulih semula daripada segi fizikal dan mental selepas melahirkan anak. Tempoh berpantang ini mungkin memakan masa 30 hingga 44 hari.

Menurut beliau, wanita yang mengandung mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk mengalami perubahan dalam tubuhnya untuk mengandungkan anak damitnya. Tubuh juga memerlukan masa untuk pulih dan penjagaan selepas bersalin adalah penting.

“Inilah juga masa untuk ibu bersama anak damitnya, dan untuk memberi susu badan, juga untuk penyembuhan luka dan untuk rahim mengecut semula kepada saiz normal. Juga untuk semua sistem tubuh untuk pulih yang mengambil masa kira-kira enam minggu.

“Anak damit juga memerlukan penjagaan, seperti dibersihkan dan diberi susu badan,“ beliau memberitahu Bernama dalam wawancara menerusi e-mel baru-baru ini.

Dr Lim berkata, selepas melahirkan anak, menjadi amalan biasa untuk si ibu menjalani amalan berpantang di pusat penjagaan atau mengambil khidmat orang yang boleh menjaga dia dan anak damitnya di rumah semasa tempoh berkenaan.

Tempoh berpantang ini perlu dilakukan di tempat yang wanita itu berasa selesa, sama ada di rumah atau di rumah ibunya sendiri. Wanita itu juga perlu ruang peribadi untuk menyusu badan anak damitnya di samping berehat.

“Perlu ditimbangkan bantuan untuk wanita yang baharu bersalin ini. Ada orang menyediakan makanan serta mencuci kain lampin, pakaian dan melakukan kerja rumah yang lain, meskipun tidak salah untuk dia melakukan semuanya ini, sekiranya tidak ada siapa yang boleh membantu.

“Paling penting untuk wanita ini berasa diberi perhatian dan dibantu kerana ketika ini kesan hormon selepas bersalin boleh memberi kesan dan dengan anak damit yang baharu dilahirkan, wanita ini boleh berasa tertekan, terutamanya apabila kurang tidur dan anak damit sentiasa menangis,“ katanya.

Beliau berkata nutrisi yang baik boleh membantu penyembuhan luka serta meningkatkan kekuatan serta bekalan susu badan.

“Amalan lain seperti berurut serta memakai bengkung hanya untuk merelakskan otot yang sakit semasa hamil dan bersalin. Ia juga dapat memberi sokongan kepada otot yang mungkin menjadi lemah semasa mengandung.

“Mandi dengan air suam serta herba membantu melegakan tubuh serta otot dan apabila wanita ini dapat berehat serta relaks, ini membantu penghasilan susu badan, “ katanya.

Peraturan di pusat penjagaan

Sementara itu, bekas presiden Persatuan O&G Society Malaysia, Dr H Krishna Kumar berkata, pada masa sekarang, wanita yang bersalin mempunyai pilihan untuk menjalani pantang di pusat penjagaan ibu berpantang swasta daripada di rumah sendiri dengan dibantu perempuan yang menawarkan khidmat menjadi wanita yang baru bersalin.

Beliau bagaimanapun berkata, terdapat kebimbangan berhubung pusat penjagaan untuk ibu bersalin daripada segi kesahan serta kurang peraturan.

“Tambahan, pusat penjagaan adalah pilihan yang lebih mahal berbanding mengambil khidmat seorang wanita untuk menjaga si ibu. Lagi pun, bukan semua pusat penjagaan untuk ibu berpantang ini mempunyai dasar yang sama, jadi lebih elok jika diperiksa terlebih dahulu apa yang ditawarkan oleh setiap pusat penjagaan.

“Ambil maklum, pusat penjagaan yang beroperasi di rumah kediaman mungkin bukan pilihan terbaik kerana mungkin tidak memenuhi keperluan tertentu untuk beroperasi sebagai fasiliti penjagaan kesihatan, “ katanya.

Menurut perunding O&G itu lagi, setakat ini, kebanyakan pusat penjagaan hanya diiktiraf sebagai perniagaan dan didaftarkan di bawah lesen perniagaan kendalian pihak berkuasa tempatan, seperti hotel dan spa, bukan fasiliti perubatan.

“Jika timbul sebarang isu atau masalah sewaktu ibu dan anak damit tinggal di pusat penjagaan itu, biasanya ia akan diselesaikan antara pusat penjagaan dan keluarga yang terlibat, “ katanya.

Beliau menjelaskan, buat masa ini tidak ada saluran untuk si ibu atau keluarga membangkitkan sebarang isu atau pertikaian.

“Ketiadaan pakar perubatan, contoh pakar sakit puan atau pakar pediatrik di kebanyakan pusat penjagaan ini untuk mendiagnos gejala komplikasi yang dialami ibu atau anak damit adalah membimbangkan.

“Penggubal undang-undang perlu berusaha menggubal undang-undang baharu atau meminda yang sedia ada bagi mengatur pusat penjagaan, melindungi ibu dan anak damit daripada insiden yang tidak diingini.

Menurut beliau, pusat penjagaan untuk ibu berpantang tidak termaktub dalam Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586). Itu sebabnya mereka tidak terikat dengan keperluan standard atau minimum.

Dr Krishna menasihatkan mana-mana wanita yang baharu bersalin dan mahu mendapatkan khidmat pusat penjagaan supaya membuat penyelidikan menyeluruh.

“Pastikan kakitangannya mempunyai persijilan dan berpengalaman. Baca betul-betul kontrak sebelum memilih pusat penjagaan untuk tempoh berpantang, “ katanya. – Bernama