Perlu telus mengendalikan kod QR BruHealth

Sejak penularan wabak COVID-19 di negara ini, salah satu usaha pihak relevan dalam membendung penularan wabak dan memudahkan untuk pengesanan kontak yang berisiko dijangkiti dengan menggunakan pengimbasan kod QR BruHealth sebelum memasuki mana-mana premis, pejabat-pejabat dan gedung-gedung membeli belah.

Namun sejauh mana ketelusan orang ramai melaksanakan tanggung jawab masing-masing untuk menggunakan aplikasi berkenaan?

Dan sejauh mana pemantauan pihak tertentu terutama di kedai-kedai memantau pelanggan memasuki kedai mereka.

Seperti mana yang kita ketahui, pihak relevan telah menyatakan hanya sesiapa yang memiliki kod hijau atau kuning BruHealth yang dibenarkan untuk keluar rumah atau memasuki mana-mana premis seperti gedung membeli belah.

Namun, sejauh mana ketelusan orang ramai menunjukkan kebenaran mereka memiliki kod hijau atau kuning?

Memang tidak dinafikan sesetengah kedai ada yang bertugas di hadapan kedai untuk memeriksa para pelanggan yang hendak memasuki kedai. Tetapi adakah mereka teliti memeriksa butiran pelanggan.

Mungkin saja ada di antara mereka menipu tentang butiran BruHealth mereka seperti pelanggan tersebut sudah lebih awal membuat tangkapan skrin BruHealth yang walhal sebenarnya lebih awal diambil dari hari sepatutnya.

Sepatutnya pihak berkenaan atau pihak kedai perlu peka tentang perkara ini dan harus tegas melaksanakan penelitian butiran pelanggan yang memasuki ke premis mereka.

Dalam masa yang sama sesetengah kedai kurang menitik beratkan tentang pemeriksaan dan mengehadkan kemasukan pelanggan.

Baru-baru ini saya mengunjungi sebuah kedai, kod QR BruHealth dan pemeriksa suhu sudah tersedia, namun orang yang bertugas hanya dengan selamba memeriksa kod BruHealth pelanggan dan langsung tidak memberikan nombor bagi keramaian yang dibenarkan memasuki premis mereka.

Lebih teruk lagi, sesetengah kedai masih membenarkan pelanggan membawa anak-anak mereka masuk ke premis mereka.

Pihak kedai perlu tegas menegur para pelanggan kerana ini demi kebaikan bersama dan kebaikan pelanggan itu juga sendiri.

Biarlah berani untuk bertindak demi undang-undang yang telah dikuatkuasakan. Justeru, orang ramai juga perlu jalankan lah tanggung jawab bersama dengan telus.

Jangan pentingkan diri sendiri, biarlah kita sama-sama membendung penularan wabak ini lagi.

Teguran