Perlu tempah perjanjian untuk derma darah

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Kementerian Kesihatan memaklumkan orang ramai bahawa Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) masih beroperasi seperti biasa dan masih mengalami stok bekalan darah yang rendah dan memerlukan semua jenis darah dengan segera bagi kegunaan pemindahan darah pesakit-pesakit di semua hospital kerajaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa berikutan perkembangan penularan COVID-19, kempen-kempen derma darah yang telah dijadualkan sepanjang minggu ini adalah dibatalkan.

Namun yang demikian, bantuan berterusan orang ramai dalam sama-sama meningkatkan stok bekalan darah di Pusat Pendermaan Darah adalah sangat-sangat diharapkan dan dihargai lebih-lebih lagi pada masa yang mencabar ini.

Langkah-langkah pencegahan adalah diperketatkan di pusat berkenaan dan orang ramai diingatkan untuk mengikuti garis panduan Kementerian Kesihatan berkenaan COVID-19 seperti memakai penutup mulut dan hidung, mensanitasi tangan, mengimbas kod QR BruHealth dan mengamalkan penjarakan sosial setiap masa.

Di samping itu, tambah kenyataan, orang ramai yang ingin menderma darah dinasihatkan untuk menempah awal slot menderma darah menggunakan aplikasi BloodKad atau menghubungi Pusat Pendermaan Darah untuk membuat perjanjian di mana setiap slot masa adalah terhad kepada lima orang penderma darah sahaja.

Pusat Pendermaan Darah pada masa ini hanya menerima penderma darah secara perjanjian dan tempahan melalui aplikasi BloodKad.

Kenyataan menyatakan bahawa Pusat Pendermaan Darah pada masa ini hanya menerima penderma darah secara perjanjian dan tempahan melalui aplikasi BloodKad.

Waktu pendaftaran menderma darah adalah Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari pukul 8:15 pagi hingga 11:45 pagi dan 1:30 petang hingga 4 petang.

Pusat berkenaan juga akan melanjutkan waktu beroperasi esok (10 Ogos) bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Orang ramai juga dibolehkan untuk menggunakan tempat letak kereta berbayar di Blok 10 Hospital RIPAS secara percuma selama dua jam. Orang ramai diingatkan untuk membawa tiket letak kereta semasa menderma darah.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Pendermaan Darah di talian 2242424 sambungan 5745, 6001 dan 6002 atau e-mel kepada [email protected] dan ikuti Pusat Pendermaan Darah di Instagram dan Facebook (@bloodbank.ripas).