Sunday, January 26, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perlu tindakan proaktif

    PUTRAJAYA, 19 Jun – Kesedaran mengenai penggunaan beg plastik secara berhemah masih sangat rendah di kalangan rakyat Malaysia, kata seorang pencinta alam sekitar Andrew Sebastian.

    Sebastian, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia (ECOmy) berkata penggunaan beg plastik di kedai-kedai runcit masih merupakan masalah besar kerana ia adalah bahan cemar utama bagi sisa pepejal negara yang terus mengganggu ekosistem marin negara.

    “Sudah tiba masanya untuk kita membincangkan dengan serius dan menghasilkan pelan tindakan dengan segera yang memudahkan pengguna dan selamat untuk alam sekitar. Saya percaya ia berkaitan dengan cara pemikiran rakyat kita. Kita memerlukan perubahan paradigma menyeluruh untuk memahami dan menangani isu ini,” katanya kepada wartawan.

    Mengikut Persatuan Pengilang Plastik Malaysia, setiap rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 300 beg plastik yang digunakan sekali sahaja, dalam setahun.

    Pada 28 Mei, Pertubuhan Bangsa Bersatu telah melancarkan kempen global #BeatPlasticPollution untuk mengurangkan pencemaran plastik bagi memenuhi objektif Pembangunan Mampan dan Perjanjian Perubahan Iklim Paris untuk memastikan pengurangan penggunaan plastik yang akan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

    Sebastian percaya dalam kebanyakan kes, perubahan kecil yang dilakukan pengguna dapat dilihat memberikan kesan besar ke atas kawasan sekitar dan gaya hidup yang lebih sihat seperti membawa beg membeli-belah sendiri, insentif penggunaan pembungkusan bahan-bahan boleh urai, dan penalti yang ketat.

    “Pertamanya, kita perlu tahu jenis plastik yang perlu dihentikan penggunaannya. Penggunaan plastik sekali guna, perlu dikurangkan dan dihentikan di kalangan penduduk bandar dan luar bandar dengan pendekatan kempen kesedaran yang berbeza,” katanya.

    Oleh kerana sehingga hari ini tiada langkah-langkah konkrit yang diambil, Sebastian percaya setiap orang perlu mengambil tindakan proaktif dan memulakan kerja-kerja pembersihan dalam masyarakat untuk membawa keseimbangan antara manusia dan alam.

    Sementara itu, SP Setia telah bekerjasama dengan Ecocentric Transition bagi merayakan Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun, bersama sekumpulan 80 kanak-kanak di bawah Yayasan Setia, yang telah mengambil empat sekolah di Johor sebagai anak angkat mereka bagi menanamkan dan mempromosikan nilai penjagaan alam sekitar.

    Pengerusi SP Setia Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin berkata kempen #BeatPlasticPollution itu akan mendidik pelajar-pelajar muda ini meningkatkan kesedaran mempelajari langkah-langkah praktikal mengatasi pencemaran plastik melalui Menolak (Refuse), Tujuan Semula (Repurpose), Menyambung Kembali (Reconnect), Kitar Semula (Recycle) dan Mengenal (Recognise).

    “Kami berhasrat untuk meningkatkan kesedaran penjagaan bumi kerana kami percaya kepada penyelesaian alternatif dan cara yang tidak menggalakkan penggunaan plastik. Sebagai pemaju hartanah terkemuka, kami akan terus mewujudkan kesedaran supaya semua orang dapat memainkan peranan mereka untuk menjaga planet kita,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda