Perluas konsep tamu di luar bandar – Ewon

KOTA BELUD, 13 DIS – Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah akan memperluaskan konsep tamu di kawasan mukim di negeri ini sebagai landasan menjana pendapatan penduduk di luar bandar.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata kementeriannya menyediakan sejumlah peruntukan bersesuaian bagi menyediakan infrastruktur asas tapak perniagaan untuk keselesaan peniaga dan pengunjung tamu.

“Kami juga bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah dengan menubuhkan satu jawatankuasa bagi melihat keperluan aktiviti menjana pendapatan penduduk luar bandar, ini termasuk pelaksanaan tamu dengan kemudahan lebih selesa dan aktiviti tamu satu mukim dilaksana dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pesta Badi Kadamaian yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew di Tamu Taginambur dekat sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata di kawasannya sahaja terdapat beberapa mukim mengadakan tamu mingguan antaranya Taginambur, Nabalu, Piasau dan Lompius.

Mengenai Pesta Badi Tamu Taginambur, beliau berkata ia diadakan bagi mempromosikan tamu itu yang telah dinaik taraf dengan pembinaan Dewan Kadamaian Square, untuk dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sabah.

Fasa pertama pembangunan tamu itu membabitkan peruntukan RM1 juta manakala fasa kedua akan dilaksanakan tahun hadapan antaranya membina tapak konkrit dan beberapa kemudahan lain. – Bernama

Datuk Christina Liew (dua, kanan) dan Datuk Ewon Benedick (kanan) ketika melawat gerai pameran makanan tradisional sempena Pesta Badi Tamu Taginambur Kadamaian di Dewan Kadamaian Square Kampung Taginambur kelmarin. – Bernama