Perluas pasaran halal ke 10 negara

SEOUL, 22 Mei – Malaysia akan memperluas perkhidmatan halal ke 10 negara menerusi pelaburan AS$1 trilion China – inisiatif Satu Jalur, Satu Jalan (OBOR), menurut Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

Naib Presidennya Hanisofian Alias berkata, negara baharu itu termasuk Kazakhstan, Uzbekistan, Mesir, Turkmenistan, Iran, Tajikistan, dan Bosnia dan Herzegovina.

“Sepanjang laluan OBOR ini, terdapat kira-kira 10 negara yang majoritinya penduduk Islam dan kita telah mengenal pasti peluang-peluang pasaran baharu.

“Sebagai contoh di Kazakhstan dan sebahagian Rusia yang mana kementerian bakal mengadakan mesyuarat suruhanjaya bersama bagi ekonomi pada hujung tahun ini (dengan Rusia),” katanya kepada Bernama bersempena lawatan kerja selama empat hari ke Seoul Food 2019 di sini, mulai semalam.

Program itu dianjurkan Agensi Penggalakan Perdagangan Pelaburan Korea (KOTRA). Pada Mac lepas, HDC menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan KOTRA, organisasi yang dibiayai kerajaan bagi memudahkan pembangunan ekonomi yang diterajui eksport Korea Selatan melalui pelbagai aktiviti promosi perdagangan.

Hanisofian Alias (kanan) pada sesi soal jawab bersama tiga lagi panel dari Korea (dari kiri) Ketua Pengarah KIHI Dr Noh James, Ketua Business Desk KOTRA Bok Duggyou dan Naib Presiden KOTRA Kim Sangmok selepas menyampaikan ucapan mengenai ‘Effective Entry to Halal Businesses’ di Pameran dan Seminar Seoul Food 2019, KINTEK. – Bernama

Mengulas selanjutnya, Hanisofian berkata negara-negara itu menunjukkan minat mendalam terhadap pembangunan industri halal domestik masing-masing.

“Kita akan memasuki negara-negara ini melalui pendekatan pengantarabangsaan berteraskan lima faktor utama iaitu membuka pasaran baharu, penjenamaan, meluaskan perkhidmatan dan barangan dari Malaysia, pembangunan modal insan dan kepemimpinan berfikir yang menggunakan Malaysia sebagai pusat rujukan industri halal dunia,” katanya.

Beliau berkata HDC juga akan memanfaatkan perkhidmatan industri halal termasuk mengeksport lebih banyak produk makanan ke China yang menempatkan 1.4 bilion populasi termasuk 26 juta umat Islam, dengan pasaran halal domestiknya meningkat 10 peratus setahun.

Pada April lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri Sidang Kemuncak OBOR yang disifatkan beliau sebagai ‘lawatan yang sangat berjaya.’

Forum antarabangsa itu dihadiri 37 pemimpin dari seluruh dunia dan 5,000 wakil dari 150 negara.

Pada bulan yang sama, Malaysia turut menerima suntikan berjumlah RM3.7 bilion menerusi janji niaga minyak sawit susulan pelaksanaan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Sementara itu, Hanisofian berkata selain kerjasama perdagangan dengan 10 negara, HDC selaku agensi di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan turut menumpukan kerjasama dengan Korea selatan.

“Di Korea Selatan, kita akan turut menumpukan (kepada) sektor berkaitan pendidikan dan pembangunan modal insan yang melibatkan kerjasama antara universiti tempatan dan Korea.” – Bernama