Perluaskan subsidi upah sektor pelancongan

KOTA KINABALU, 20 NOV – Program Subsidi Upah, yang dilanjutkan pelaksanaannya menerusi Belanjawan 2021, diharap dapat diperluaskan bukan hanya untuk industri pelancongan semata-mata tetapi juga sektor-sektor berkaitan dengannya, kata Presiden Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah Foo Ngee Kee.

Beliau berkata langkah itu pen-ting bagi membantu sektor-sektor berkaitan pelancongan, khususnya di Sabah, membayar upah pekerja memandangkan banyak aktiviti perniagaan di negeri ini mempunyai kaitan langsung dengan industri berkenaan yang telah terjejas akibat COVID-19.

“Kami mengalu-alukan langkah kerajaan untuk meneruskan program subsidi upah di bawah Belanjawan 2021 kerana ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban para penggiat PKS sekali gus sebagai usaha mengekalkan pekerja mereka.

“Bagaimanapun, pemberian program subsidi upah itu lebih bersasar dan tidak semua PKS menerima manfaatnya kerana ia lebih kepada sektor pelancongan dan peruncitan sahaja.

“Oleh itu, saya berharap kerajaan tidak memperketatkan pemberian program berkenaan kerana banyak perniagaan di Sabah adalah berkaitan dengan sektor pelancongan seperti restoran makanan laut, selain kedai menjual barangan tempatan dan kraftangan,” katanya kepada Bernama. – Bernama