Perlunya inovasi dalam pendidikan

Oleh Sim Y.H

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Krisis kesihatan COVID-19 menyebabkan gangguan yang belum pernah terjadi sebelum ini kepada pengajaran dan pembelajaran di negara ini dan Kementerian Pendidikan bergerak pantas untuk memberikan respons dengan melaksanakan langkah-langkah untuk memudahkan kelangsungan pembelajaran.

Ia dimudahkan menerusi platform dalam talian, program televisyen pembelajaran-rumah, media sosial dan pembelajaran pek-rumah bagi para pelajar yang tidak mempunyai sambungan internet atau komputer di rumah.

Inovasi terangsang dalam sektor pendidikan itu, memerlukan guru-guru untuk menjadi dinamik, berdaya tahan, boleh menyesuaikan diri, inovatif dan kreatif seperti yang dapat disaksikan semasa COVID-19.

Perkara itu ditekankan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman ketika berucap di Persidangan Hari Guru Sempena Sambutan Hari Guru ke-30, 2020 yang diadakan secara maya, hari ini.

Menurutnya, kesan COVID-19 akan memberikan jejak yang berkekalan dengan mempercepatkan usaha berterusan kita untuk mencipta semula kaedah melaksanakan tugasan kita.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan ketika berucap semasa persidangan tersebut yang diadakan secara maya, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Oleh itu, jelasnya, semua pihak perlu merebut peluang berkenaan untuk mengukuhkan, mempercepatkan dan meningkatkan kapasiti kita dalam bidang inovasi serta teknologi untuk terus membangunkan sumber pembelajaran dan pengajaran berkualiti tinggi serta menjadikannya lebih mudah untuk diakses bagi guru-guru dan pelajar, meneruskan latihan kepada guru dan pelajar mengenai bagaimana untuk mengatur dan menggunakan peralatan dan platform pembelajaran jarak jauh serta untuk memperkukuhkan lagi sokongan kepada pelajar-pelajar yang tidak mempunyai akses kepada teknologi.

Beliau berkata lagi bahawa inovasi dalam pendidikan telah muncul sebagai topik penting dalam mempersiapkan pelajar-pelajar kita bagi Revolusi Industri 4.0 dan masyarakat 5.0 di mana perbezaan dalam pembelajaran, pemperibadian, kemahiran interpersonal dan teknologi pendidikan adalah penting bagi para pelajar untuk menjadi inovator, pencipta dan pelajar sepanjang hayat yang lebih baik.

Di samping itu, tambahnya, tidak kurang penting ialah untuk menjadikan lebih terang di mana dan bagaimana inovasi berkenaan berlaku di dalam bilik darjah serta jika ia adalah efektif atau tidak.

Oleh itu, sub-tema persidangan iaitu pedagogi inovatif, jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah, adalah amat bertepatan di mana ia membawa ke hadapan pentingnya profesionalisme guru di mana mereka merupakan pereka persekitaran pembelajaran di dalam bilik darjah mereka. Secara amnya, pengajaran di Negara Brunei Darussalam menumpukan kepada liputan kurikulum, penyampaian ilmu pengetahuan fakta dan prosedur, mempersiapkan pelajar-pelajar bagi peperiksaan kebangsaan dan hujung tahun.

Dalam hubungan itu, tidak mengejutkan bahawa arahan bilik darah adalah koheren, sesuai untuk tujuan dan sangat bergantung pada buku teks, contoh kerja dan tumpuan yang kuat kepada latih tubi dan latihan.

“Namun begitu, walaupun ia telah berjaya menghasilkan pelajar-pelajar dengan nilai-nilai yang kukuh dan asas yang baik dalam numerasi dan literasi, masa hadapan kini menjadi lebih kompleks.”

Persoalan yang utama yang ditanya oleh setiap guru di dunia, jelas Yang Berhormat Dato, adakah kita mempersiapkan guru-guru kita bagi mereka untuk mempersiapkan golongan muda bagi masa hadapan berkenaan.

Dalam ucapannya lagi, beliau berkata bahawa perubahan adalah sesuatu yang terus berlaku dalam pendidikan di mana jangkaan dan stail pembelajaran generasi baru adalah amat berbeza.

Sebagai contoh, pelajar generasi baru dapat menghasilkan dapatan pembelajaran efektif apabila pembelajaran mereka dicampurkan dengan teknologi dan pertukaran idea secara terbuka.

“Oleh itu, kita mesti mengimbangkan di antara kerja keras yang kita perlukan daripada pelajar-pelajar dan untuk menjadikan pembelajaran seronok. Dalam erti kata lain, kita perlu memupuk keseronokan belajar dan menjadikan pengajaran lebih seronok bagi guru-guru kita,” jelasnya lagi.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah turut menyatakan perlunya peralihan daripada suasana bilik darjah yang didominasi guru dan merubah persepsi bahawa mengajar itu adalah bercakap dan belajar itu adalah mendengar.

Bilik darjah abad ke-21 menumpukan lebih kepada tahap kefahaman pelajar atau penguasaan mereka daripada jika pelajar itu tahu atau tidak jawapan yang tepat. Mesej utama, tekan Yang Berhormat Dato, adalah perlunya untuk menyampaikan pembelajaran berasaskan persoalan dan aplikasi di dalam bilik-bilik darjah.