Perlunya kajian ilmiah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Dalam konteks sosial dan kenegaraan tentu terdapat pelbagai ilmu mengenai ajaran Islam dalam ruang lingkup akidah dan syariah untuk dijadikan kajian.

Fokus kajian yang diharapkan adalah untuk mendapatkan dan seterusnya memperlihatkan sejauh mana ajaran agama Islam dalam aspek akidah dan syariah itu berpengaruh positif dalam sistem sosial dan pemerintahan negara kita dan seterusnya kepada negara-negara umat Islam lainnya.

Perkara ini ditekankan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa menyampaikan ucapan pada perasmian Seminar Kefahaman Akidah dan Pemikiran Semasa (SEKAPES 2019), hari ini.

Pada majlis yang berlangsung di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) itu, Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, kajian seumpama ini yang bersangkut paut dengan Brunei Darussalam belum banyak diperoleh, yang menurutnya lebih afdal dilakukan oleh sarjana-sarjana di sini atau dalam kajian ijazah lanjutan PhD mereka di luar negeri.

Semasa perasmian seminar tersebut, beliau juga menyentuh mengenai kertas kajian oleh seorang sarjana Islam di Amerika, di mana menurut kertas kajian tersebut, negara-negara yang bukan Islam dan sekular jauh lebih Islamik mengatasi negara-negara Islam dalam ukuran aplikasi ‘ajaran-ajaran Islam’ dalam pencapaian pembangunan dan kemajuan negara.

“Itulah ekoran yang terjadi apabila kajian-kajian tidak ada atau belum cukup untuk dipelajari mengenai hubung kait akidah dan syariah dalam sistem sosial dan pemerintahan,” jelasnya.

Beliau seterusnya menjelaskan, perkara ini tentu akan terjadi di negara ini, sekiranya aspek-aspek akidah dan syariah itu dipelajari secara kajian terpencil dalam batas ilmu agama sebagai pengajian Islam.

“Kita sebagai pemangkin kesedaran beragama dalam kalangan rakyat sering menyebut maqasid syari’ah, di mana dalam hal ini kita dari kalangan disiplin pengajian agama, sudah serak suara menyebut-nyebutnya, tapi ianya yakni maqasid syari’ah itu disebut dalam konteks keunggulan agama Islam.

“Pada dasarnya ia tidak ubah setakat untuk menepati ruang lingkup ilmu sahaja agar umat Islam tetap teguh berpegang kepada akidah dan syariah,” tegasnya.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, dengan secara disedari atau tidak, kesan utamanya ialah bernostalgia mengenai masa lampau sejarah dan tamadun gemilang agama Islam dan bangsa-bangsa Islam zaman lampau.

Beliau seterusnya menjelaskan, pengajian akidah dan syariah yang disebut akidah ialah akidah Ahli Sunnah Wal jamaah dan syariahnya (fiqah) menurut mazhab Syafie itu hendaklah didalami lagi dalam makna kajian.

“Kajian yang akan dilakukan itu seterusnya perlu mengetengahkan konteks sejauh mana aplikasinya mempengaruhi dalam kehidupan sosial dan pemerintahan bagi tujuan untuk memahami sama ada ia syarie atau sebaliknya.”