Saya ingin memberikan respons kepada surat pembaca ‘Tingkatkan kualiti kawasan rekreasi awam’ yang ditulis oleh Suara awam disiarkan dalam Media Permata bertarikh 29 Disember 2021.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada penulis yang tampil menyuarakan keadaan kemudahan di kawasan rekreasi di negara ini. Memang saya bersetuju dengan penulis bukanlah sebagai alasan COVID-19 untuk menghalang pihak relevan melakukan pembaik pulih dan penyelenggaraan kemudahan awam. Namun pada pendapat saya sendiri, penulis perlu juga memikirkan tentang penggunanya. Di mana maksud saya di sini, adakah semua pengguna yang menggunakan kemudahan dengan cermat dan baik?
Tidak mustahil pihak relevan telah melakukan pemantauan dan penyelenggaraan namun jika penggunanya tidak bertanggung jawab dan melakukan vandalisme, sudah jelas bukan kesalahan sepenuhnya daripada pihak relevan. Malah lebih menyedihkan, kemudahan yang disediakan oleh pihak relevan disalahgunakan oleh orang awam. Bak kata orang kitani ‘Inda tah sanang hatinya melihat kebisaian’.
Sehubungan itu, apa yang saya rasa penting adalah kerjasama antara pihak relevan dan orang awam amat diperlukan di sini. Jikalau kita berganding bahu tidak mustahil kita dapat mengelokkan bersama-sama kawasan rekreasi di negara ini.
Sebagai contoh, orang awam boleh saja menghubungi pihak relevan tentang kerosakan kepada pihak relevan. Lambat? Meskipun berlakunya kelambatan lambat laun pihak relevan akan melakukan pemantauan dan melaksanakan pemulihan.
Berkenaan dengan mini zoo yang ditekankan oleh penulis, memang tidak dinafikan agak menyedihkan keadaan di sana.
Namun perkara ini perlu dibincangkan dalam Mesyuarat Negara akan datang untuk menaik taraf kawasan rekreasi di negara ini sebagai pusat pelancongan domestik. Mungkin saja dapat disuarakan sebagai contoh zoo mini diswastakan kepada syarikat swasta atau luar untuk bergabung membaik pulih kawasan berkenaan.
Sama-sama dukung negara