Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Perlunya pembaharuan sistem keselamatan kesihatan global

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Kepentingan untuk membangun dan mengekalkan kapasiti serta sistem yang efektif dalam mencegah, mengesan dan bertindak balas terhadap kecemasan kesihatan awam telah diketengahkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Mesyuarat Peringkat Tinggi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengenai Kesihatan dan Ekonomi ke-12 yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 25 dan 26 Ogos lalu.

    Yang Berhormat Dato dalam mesyuarat itu turut menekankan keperluan bagi penelitian, pengemaskinian dan pembaharuan kepada sistem keselamatan kesihatan global di samping pengawasan yang berterusan, berasaskan ketelusan dan yang memanfaatkan teknologi digital bagi menghubungkan maklumat di seluruh dunia.

    Beliau seterusnya menyeru bagi perkongsian maklumat dan data, di samping memastikan ketelusan yang membina kesalingpercayaan serta menggalakkan perpaduan dalam kalangan ahli-ahli ekonomi.

    Delegasi Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat berkenaan telah diketuai oleh Yang Berhormat Dato dan turut disertai oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman serta beberapa orang pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

    Mesyuarat yang membawa tema Open to Partnership. Connect with the World. Balance Health and the Economy itu memfokuskan kepada perbincangan mengenai keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi dalam melaksanakan Wawasan Putrajaya 2040 termasuk melalui Pelan Tindakan Aotearoa pada masa dunia berhadapan dengan pandemik COVID-19.

    Selain itu, turut dibincangkan adalah isu-isu yang berkaitan dengan pelaburan dalam keselamatan kesihatan global bagi meningkatkan kesiapsiagaan bagi kemunculan pandemik-pandemik lain pada masa akan datang.

    Di akhir mesyuarat, satu kenyataan telah dikeluarkan, yang antara lain menghuraikan persetujuan untuk mengambil tindakan bagi mengukuhkan lagi sistem keselamatan kesihatan melalui pelaburan dan penggunaan teknologi digital serta meneruskan usaha untuk menangani isu-isu kesihatan lain mengikut kepentingan ahli-ahli ekonomi Asia Pasifik ke arah memperkesankan lagi sistem kesihatan yang berdaya tahan dan mempromosikan kesihatan bagi penduduk Asia Pasifik.

    Mesyuarat telah didahului dengan Mesyuarat Kumpulan Kerja Kesihatan APEC yang telah meneliti mekanisme yang diperlukan bagi mengukuhkan sistem keselamatan kesihatan yang berkesan dalam mencegah, mengesan dan bertindak balas terhadap kecemasan kesihatan awam seperti penggunaan teknologi dalam penjagaan kesihatan, kesihatan digital dan inovasi kesihatan yang memupuk penerapan teknologi baharu yang boleh meningkatkan keupayaan ahli-ahli ekonomi menangani COVID-19 dan cabaran-
    cabaran kesihatan yang lain.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam ke Mesyuarat Peringkat Tinggi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik mengenai Kesihatan dan Ekonomi ke-12 yang berlangsung di Bangkok, Thailand. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...