LOS ANGELES – Rocky berusia 56 tahun apabila dia mendapati dirinya hidup dan tinggal di jalanan buat kali pertama dalam hidupnya, tidak mempunyai wang langsung, merasa seluruh dunia telah meninggalkannya di belakang.
Dia dengan cepat mengalami depresi atau kemurungan, satu keadaan mental yang biasa dalam kalangan orang yang mengalami perubahan yang traumatik dalam hidup mereka.
Pada masa itu, tiga tahun lalu, jiwanya yang rapuh menjadi lemah tatkala dia mencari sebuah tempat untuk mendirikan khemah di sebuah taman di daerah Los Angeles, yang mempunyai kadar penduduk yang tiada tempat berteduh paling tinggi di Amerika Syarikat.
Daerah itu mempunyai kira-kira 53,000 penduduk yang tiada mempunyai tempat tinggal, 27 peratus di antara mereka menderita penyakit mental, sama ada skizofrenia, gangguan bipolar atau depresi teruk seperti yang dialami oleh Rocky.
“Ia bukannya senang,” kata Rocky, kini berusia 59 tahun, rambutnya beruban dan kedut kelihatan pada wajahnya.
“Tidak pernah tiada tempat tinggal sebelum ini,” tambahnya, hampir berbisik perkataan tersebut disebabkan rasa malu.
Rocky ialah nama yang digunakannya apabila dia mula tinggal di jalanan.
Dia telah lupa apa rasanya mempunyai tidur yang betul-betul nyenyak: dia tidur dengan tanglung kem yang bercahaya jika adanya bunyi, dan berkata dia membawa senjata api yang digunakannya untuk menakutkan sesiapa yang cuba merompak atau menyerangnya pada waktu malam.
“Hidup atau tinggal di jalanan, anda tahu, adalah satu situasi yang tertekan yang boleh dengan sendirinya memburukkan lagi keadaan kesihatan mental atau gejala penyakit mental,” kata Benjamin Henwood, seorang pekerja sosial yang menjalankan penyelidikan untuk Universiti California Selatan.
California mempunyai ekonomi kelima terbesar di dunia, tetapi mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Amerika Syarikat, jika kos taraf hidup diambil kira.
Tidak adanya kawasan di Los Angeles yang tidak mempunyai komuniti tanpa rumah mereka sendiri: daripada Walk of Fame di Hollywood yang dipenuhi dengan pelancong ke pusat bandar, terdapat orang melarat yang berkelompok di dataran, taman dan sepanjang lebuh raya.
Kotor dan dalam pakaian compang-camping, mereka sering dilihat bercakap dengan diri mereka sendiri, menjerit atau melenggok-lenggokkan badan mereka – tanda-tanda yang dikatakan oleh pakar menunjukkan keadaan mental atau kemungkinan penyalahgunaan dadah.
Pakar bersetuju bahawa langkah pertama untuk mengatasi penyakit mental di kalangan penduduk yang tiada tempat tinggal adalah dengan mencari tempat tinggal untuk mereka.
“Rumah seharusnya menjadi asas kepada pemulihan, bukannya kemuncak pemulihan,” kata Todd Lipka, ketua Step by Step NGO, yang membantu penduduk tiada tempat berteduh dengan penyakit mental mencari tempat tinggal.
“Jika anda menghidapi penyakit mental, pemulihan di jalan raya adalah mustahil disebabkan anda menghabiskan kesemua tenaga anda hanya untuk hidup,” kata beliau.
Kumpulan lain seperti Perumahan Keluarga LA – yang menawarkan khidmat di kawasan di mana Rocky tinggal – juga mencari pangsapuri untuk mereka yang hidup di jalanan di sana, yang mana kawasan tersebut mempunyai taraf hidup yang amat tinggi.
“Kami perlu membina rumah yang lebih tetap dan kami memerlukannya sekarang,” kata Eric Montoya, seorang penyelaras kemasyarakatan dengan Perumahan Keluarga LA yang sedang mencari satu tempat untuk Rocky.
Daerah LA dan bandar itu sendiri sedang meluluskan langkah-langkah untuk membelanja berbilion dolar ke atas pembinaan perumahan sosial, namun projek tersebut masih belum siap.
Langkah perundangan juga bertujuan mempertingkat perkhidmatan sosial yang sudah digunakan sepenuhnya buat masa sekarang.
Rocky menerima kebenaran untuk penginapan enam bulan lalu menerusi satu lagi kumpulan yang khusus membantu orang dengan penyakit mental mencari rumah, serta memberikan mereka akses kepada rawatan terapi.
“Saya berasa amat tertekan, ingin menggunakan dadah. Semua orang menggunakannya,” katanya dengan air matanya bergenang, mengenangkan semula ketika umur remaja, dia adalah seorang penagih tetapi telah pulih hampir 30 tahun lamanya.
“Sejauh mana anda sanggup bertahan?”
Kisah Rocky adalah penuh dengan situasi tragik, dan dia tidak berminat untuk mengenang kembali.
Suaminya mempunyai gaji yang baik, tetapi dia meninggalkannya untuk melepaskan diri daripada penyalahgunaan dadah dan alkohol.
Kemudian dia mempunyai teman lelaki di San Diego yang mengambil segala yang dimilikinya dan memaksanya berpindah jauh dari California.
Dia berkata dia berada di Idaho untuk seketika waktu, bekerja di ladang ternak di mana dia menjaga kuda, sebelum kembali ke Los Angeles untuk menjadi bekas suaminya, yang sakit tenat kerana menghidapi sirosis.
Namun dia berkata suaminya juga menderita akibat demensia dan tidak tahu siapa dirinya. Suaminya enggan berjumpa dengannya.
Seterusnya dia pun akhirnya hidup di jalanan, bersama dengan hanya tiga beg pakaian dan kepiluan kerana banyak kali disisihkan.
Selepas bertukar beberapa tempat perlindungan, dia berakhir di taman di Van Nuys, di mana dia mendirikan khemah di bawah beberapa pokok.
Rocky memastikan bahagian dalam khemah dijaga dengan kemas, katilnya kemas dan bersih, dan mempunyai kawasan memasak malah tempat mandi yang telah diubahsuai.
Dia menunjukkan tempat khemahnya dengan penuh bangga, walaupun jika dia tidak dapat memikirkan masa depannya yang telah hilang.
“Saya mahu pintu saya dapat ditutup dan dikunci,” katanya dengan penuh harapan.
“Saya akan mempunyai air yang mengalir, air panas! Dan saya akan rasa terjamin, selamat apabila saya tidur.” – AFP