RIO DE JANEIRO – Bola menuju tepat di belakang pemain pertahanan dan meluru masuk di sudut gawang gol. Gol dijaringkan oleh Zidane!
Nah, sekurang-kurangnya gol dilakukan menggunakan cakera plastik kecil yang tertulis nama legenda bola sepak Perancis padanya.
Selamat datang ke dunia butang bola sepak yang unik. Brazil sepertinya pasukan gergasi dalam bidang sukan ini, yang mana biasanya dimainkan di padang.
Pemain-pemain berdiri di sekeliling meja khas, setiap pasukan mempunyai 11 cakera plastik, yang menyamai dengan saiz cip poker.
Para pemain bermain secara bergilir-gilir menggunakan cakera berasingan, berbentuk seperti ‘pick’ gitar, untuk menguis pemain mereka, yang kemudian menggerakkan sebiji bola kecil di sekitar ‘padang’ tersebut. Hasilnya boleh membawa kepada keasyikan, melibatkan taktik, nasib dan tidak diragukan lagi beberapa bintang.


Alexandre Cerqueira Gil, yang bermain sebagai ‘Zinedine Zidane’, telah pergi ke tempat perlawanan itu pada setiap pagi hari Sabtu, bertemu dengan penggemar-penggemar bola sepak butang di lapangan Sao Salvador di Rio de Janeiro.
“Kami berjaya mencipta semula kebanyakan situasi yang terdapat dalam bola sepak,” kata Gil, seorang peguam berusia 54 tahun.
Permainan ini dimainkan di seluruh Brazil dan di segelintir negara-negara lain, tetapi variasi serantau adalah perkara biasa, yang bermakna ia boleh menjadi sangat sukar untuk dikuasai.
Di Rio, sebagai contoh, pemain berpegang kepada apa yang mereka panggil peraturan 9×3. Permainan ini berakhir dalam tempoh 14 minit, dua masa perlawanan dan pemain bergilir-gilir untuk ‘menendang’ bola sebanyak sembilan kali, tetapi hanya tiga kali berturut-turut dengan ‘pemain’ yang sama.
Menjaga dari dibolosi gol adalah penjaga gol yang berbentuk blok segi empat, dengan mengambil kira dua pertiga dari kawasan gawang gol. Untuk menjaringkan memanglah tidak mudah.
“Secara taktikalnya, ia berbeza dengan bola sepak sebenar, kerana terdapat beberapa sentuhan bola yang begitu terhad,” kata jurutera Luiz Carlos Pires, 54, yang juga bermain di lapangan Sao Salvador.
“Tetapi kualiti daripada teknik anda membuat semua perbezaan itu, sama seperti bola sepak, serta latihan.”
Bola sepak butang dipercayai telah dimainkan di Brazil sejak tahun 1920 dan pengasas bagi permainan ini ialah artis Geraldo Decourt, yang menubuhkan peraturannya di Rio pada tahun 1930.
Pada tahun 2001, gabenor negeri Sao Paulo, Geraldo Alckmin bahkan menetapkan tarikh kelahiran Decourt, 14 Februari, sebagai ‘hari permainan bola sepak butang.’
Pada mulanya, butang yang diambil dari pakaian digunakan untuk bermain.


Tetapi token itu telah berkembang dan menjadi kepingan yang dibuat khas, dihiasi dengan warna kelab bola sepak dari seluruh dunia.
Seringkali mereka meletakkan nama atau nombor pemain padanya, yang membolehkan peminat permainan ini untuk mencipta semula pasukan legenda atau meletakkan bintang-bintang bola sepak dari era yang berlainan.
Sesetengah daripada mereka meletakkan nama Neymar bersama dengan Pele, sebagai contoh, tetapi para peminat tegar bola sepak butang ini mengatakan bahawa ianya harus berdasarkan kepada pasukan sebenar.
Satu set permainan lengkap bernilai sekitar 180 reais (AS$48). Seorang aficionado sebenar, Gil, berkata dia telah mengumpul cakera dalam sekitar 80 pasukan.
“Saya mempunyai butang yang diperbuat daripada akrilik, diperbuat daripada kelapa atau token-token lama yang kami pernah gunakan untuk perkhidmatan bas,” katanya.
Ketika bersaing, dia menyukai pasukan kesayangannya, kelab Rio Flamengo, dengan pemain yang mewakili idolanya, Zico, dalam posisi yang menonjol. Dia kadang-kadang menggunakan pasukan Real Madrid, bersama dengan Zidane semasa hari-hari kerjaya bermainnya.
Pada perlawanan di lapangan Sao Salvador, Real Madrid telah menjaringkan dua gol menentang Inter Milan, mendorong seorang teman bergurau dan berkata kepada Gil: “Berhati-hati atau anda perlu mengambil ujian doping!
“Saya telah bermain sejak saya berumur empat tahun. Ayah saya mengajarkan kepada saya. Ketika saya masih kecil, saya hanya memikirkan kemenangan, namun apa yang saya lebih suka apabila menemui rakan-rakan saya,” kata Gil.
Joao Carlos da Silva Nunes, 59, adalah seorang pemain berpengalaman yang dipilih untuk memainkan versi butang Piala Dunia di pusat membeli-belah Rio. Sama seperti Piala Dunia yang sebenar di Rusia, kejohanan itu telah bermula pada 14 Jun dan berakhir pada 15 Julai lalu.
Da Silva Nunes akan ‘mengendalikan pasukan ‘Senegal’. – AFP

































