Tuesday, April 16, 2024
36 C
Brunei

    -

    Permainan papan imbas nostalgia zaman kanak-kanak

    Oleh Amri HTZ

    Kehadiran gajet elektronik dalam kehidupan kita kini telah membawa banyak kemudahan dan kesenangan terutama dalam urusan jual beli, mengakses ilmu dan juga permainan.

    Disebabkan kemampuannya menyimpan pelbagai aplikasi, ia sekaligus turut menggantikan peralatan fizikal lainnya.

    Salah satunya ialah permainan berbentuk papan yang kini sudah kurang mendapat sambutan. Bagi mengembalikan nostalgia salah satu permainan tradisional dimiliki bersama keluarga, luangkan masa bersama untuk merekanya dengan mudah menggunakan kayu.

    Sedia barangan terlebih dahulu

    Sebelum memulakan projek rekaan, awda perlu sediakan barangan seperti kepingan papan terpakai, mesin pemotong kayu, pita pengukur, gam kayu, pengepit kayu, mesin router, pensel penanda, mesin gerudi atau skrol, mata gerudi berukuran 40mm, kertas pasir, getah cerut, alat kompas, mesin cetak, ketam kayu dan cat sembur clear.

    Tumpu perhatian dalam rekaan

    Memandangkan rekaan ini akan dibuat daripada kayu terpakai seperti palet, keseluruhan permukaan kayu akan terlebih dahulu dibersihkan daripada segala kotoran dan paku atau skru. Setelah keseluruhan permukaan dibersihkan,ia akan diratakan menggunakan ketam kayu. Jika awda memiliki mesin sedemikian, ia merupakan satu kelebihan yang boleh menjimatkan tenaga dan masa.

    Selain permukaan atas dan bawah kayu, bahagian sisi kiri dan kanan juga perlu diratakan menggunakan mesin ketam atau secara manual. Ini bertujuan bagi mendapatkan permukaan cantuman yang benar-benar rata agar kepingan papan yang dicantumkan nanti cukup kukuh tanpa memerlukan sokongan dowel atau pasak pada bahagian tersebut.

    Langkah mencantumkan kepingan papan menjadi satu menggunakan gam kayu dan pengepit kayu.
    Permukaan kayu yang telah direka dengan grafik menggunakan stensil.
    Kepingan papan yang telah tercantum akan diratakan menggunakan mesin ketam.
    Bingkai atau dinding rekaan yang dibentuk bahagian hujungnya dengan bentuk membulat.
    Lebihan papan digunakan untuk mereka bola permainan menggunakan mata gerudi ukuran bersesuaian.

    Selain menggunakan ketam kayu, penggunaan mesin pemotong kayu meja juga mampu melaksanakan tugasan meratakan permukaan tersebut. Malah dengan menggunakan langkah ini, lebar papan-papan yang dipotongkan pada bahagian sisinya akan mempunyai ukuran yang sama rata memandangkan terdapat panduan untuknya daripada fip fence mesin.

    Tebal papan yang diperlukan pada projek ini lebih kurang 1.5sm sementara bagi panjang lebih kurang 75sm. Lebar setiap kepingan papan tertakluk kepada yang dimiliki di mana awda hanya perlu menumpukan pada ukuran akhir rekaan iaitu 36sm.

    Kesemua kepingan papan yang telah disediakan akan dicantumkan menggunakan gam kayu dan pengepit kayu. Sementara menunggu gam mengering, gunakan masa terluang dengan mereka bahagian dinding papan permainan berfungsi bagi mengelakkan bola terkeluar dari kawasan permainan.

    Untuk itu awda perlu memotongkan kayu berukuran 2sm x 2sm dengan panjang 75sm untuk dua batang dan 36sm dua batang. Kayu-kayu tersebut kemudiannya akan dicantumkan menjadi bingkai menggunakan gam kayu dan pengepit kayu. bagi memastikan cantuman mempunyai sokongan yang mencukupi, awda boleh menggunakan dowel atau pasak kayu pada bahagian cantuman.

    Setelah mencantumkannya, bahagian hujung keempat-empat sudut kayu akan dibentuk membulat dan bagi membolehkannya dilakukan, terlebih dahulu awda perlu memotongkan empat kepingan kayu dengan sudut 90 darjah pada bahagian luar dan separa bulatan pada bahagian dalam. Bagi mendapatkan bentuk separa bulatan pada bahagian dalam kayu tersebut gunakan mesin jig untuk merekanya.

    Apabila sudah mendapatkannya, cantumkan pada bahagian dalaman bingkai (dinding rekaan) sebelumnya menggunakan gam kayu. Biarkannya mengering selama beberapa jam sebelum beralih ke langkah pembuatan yang seterusnya.

    Jika gam yang telah sapukan mengering, kini awda perlu membentuk bahagian hujung keempat-empat sudut bingkai tersebut dengan bentuk membulat. Caranya sama ada menggunakan mesin jig atau menggunakan mesin kertas pasir. Apa yang penting dalam langkah ini adalah awda perlu memastikan ketebalan bahagian membulat tersebut adalah sama rata dengan ketebalan dinding rekaan selebihnya iaitu 2sm.

    Selesai membentuknya, kini awda perlu menyelaraskannya dengan papan permainan utama yang telah direka sebelumnya melalui cantuman kepingan papan. Sebelum mencantumkan bahagian dinding tersebut, awda perlu memotongkan papan utama selaras bentuk dinding atau bingkai yang telah direka. Dengan hanya meletakkan bingkai tersebut pada permukaan kayu, lakar bahagian luaran menggunakan pensel dan potong menggunakan mesin jig.

    Pada bahagian tengah papan permainan akan direka dengan palang utama terbuat daripada kayu. Tumpukan perhatian pada ruangan untuk menjaringkan bola di mana ruangan berukuran 5.5sm lebar dan tinggi 1.8sm akan direka. Panjang kayu pula sesuai dengan lebar papan iaitu 36sm dan tebal dan tinggi sama seperti bahagian dinding rekaan.

    Manakala bagi bola yang diperbuat daripada kayu akan direka menggunakan mesin skrol atau hanya menggunakan mata gerudi yang tidak mempunyai mata panduan pada bahagian tengah. Ini bagi memastikan bola tersebut tidak mempunyai lubang pada bahagian tengahnya namun jika awda lebih memilih bentuk sedemikian bukanlah satu masalah.

    Bola yang telah direka perlulah dipastikan permukaannya licin agar tidak tersekat ketika bergeser dengan permukaan permainan. Ini memerlukan awda untuk benar-benar meratakannya menggunakan kertas pasir berukuran 1,500 grit. Selain itu, permukaan papan permainan dan bola juga akan disemburkan dengan cat clear untuk melindunginya daripada kotoran atau kelembapan.

    Bagi awda yang sukakan permukaan permainan yang mempunyai grafik padanya, awda boleh merekanya dengan cara menggunakan stensil atau mesin pengukir laser. Jika menggunakan stensil, pastikan pewarna digunakan tidak terlalu tebal yang mampu menjejaskan kelancaran geseran bola.

    Langkah terakhir projek ini adalah menempatkan getah cerut pada kedua-dua sisi papan. Bagi memastikan getah cukup ketat dan kuat ketika melantunkan bola, sesuaikan kedudukan getah dengan cara menetapkan sementara pada satu bahagian menggunakan pengepit kayu dan tarik getah tersebut. Jika dirasakan kekuatannya sudah mencukupi, tandakan bahagian tersebut dan tebuk bahagian sisi dinding bagi mereka ruangan yang membolehkan awda mengikatkan getah cerut tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...