Permainan Syawal meriahkan Aidilfitri

Oleh Daniel Lim
Gambar serahan IBTE JBC

BELAIT, 10 JUN – Bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri yang hampir ke penghujungnya di samping memberi peluang kepada para peserta mengurangkan tekanan harian, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC) telah mengadakan ‘Permainan Syawal’, baru-baru ini.

Seramai 46 orang pelajar serta tenaga pengajar dari kampus berkenaan telah menyertai permainan-permainan berkenaan yang diadakan di perpustakaan.

Ia bukan sahaja bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara para pelajar dan pustakawan malah mempromosikan perpustakaan kampus, mewujudkan hubungan baik antara pustakawan dan para pelajar.

Di samping itu, ia juga dapat meningkatkan jumlah pelajar berkunjung perpustakaan dan menarik para pelajar untuk mengikuti aktiviti yang dianjurkan.

Acara dimulakan dengan ucapan ringkas daripada Ketua Perpustakaan IBTE JBC, Dayang Hazimah Umar sebelum pelbagai permainan diadakan termasuk Anyam Ketupat, Roll the ball, teka lirik dan Beku Dance Raya.

Selain permainan-permainan berkenaan, aktiviti Permainan Syawal juga menyaksikan beberapa persembahan raya yang diketuai oleh pelajar-pelajar Kelayakan Kemahiran Industri (ISQ) dalam Kimpalan.

Peserta mengikuti salah satu permainan yang diadakan.
Salah satu permainan yang diadakan semasa acara itu.