Permainan video retro masih diminati

Oleh Adiiwira

Seiring berkembangnya tek-nologi, penyampaian hiburan turut mengalami perubahan yang ketara di mana antaranya dapat dilihat melalui permainan video.

Pada ketika ini, terdapat pelbagai peranti permainan video baharu yang serba canggih yang kini hangat diperkatakan seperti Sony Playstation 5, Xbox Series X dan Nintendo Switch. Masing-masing peranti ini saling bersaing menonjolkan permainan-permainan video yang menarik melalui grafik video yang semakin hebat dengan teknologi 3D dan 4D malah lebih futuristik.

Namun, bak kata pepatah ‘Tiada yang lama, maka tiadalah yang baharu’, begitulah juga yang berlaku pada evolusi perubahan permainan-permainan video ini yang pasti suatu ketika dahulu ada peranti yang dianggap cukup moden semasa waktunya. Bagi mereka yang lahir pada tahun 80an dan 90an pasti mengalami semua evolusi permainan video ini dan tidak mustahil ada yang sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkannya.

Permainan video retro masih tetap diminati

Meskipun permainan-permainan video lama ini tidak setanding kecanggihan grafik dengan yang ada pada masa kini, masih ramai yang meminatinya. Namun sebab yang pasti kenapa masih diminati sehingga sekarang belum ada kepastian, kerana ada yang mengatakan permainan video retro lebih menarik dan mencabar dimainkan dan ada juga mengatakan dapat mengimbau kenangan masa lalu.

‘Kamu generasi baharu inda tau ni game-game lama ah’, mungkin percakapan ini boleh saja dipupuskan pada ketika ini. Ini kerana generasi sekarang juga semakin berjinak-jinak dengan permainan video lama ini sejak pelbagai inisiatif dilakukan untuk menghidupkan semula permainan video ini melalui aplikasi-aplikasi di telefon bimbit dan peranti-peranti yang boleh memainkannya. Sebagai contoh yang kini hangat dijual di negara kita, Game Stick Dongle yang memuatkan beribu-ribu permainan video dengan sistem peranti-peranti permainan video retro seperti Sega, Nintendo Game Boy, MAME, ATARI, Playstation 1 dan sebagainya.

Pac-Man semakin popular pada pertengahan tahun 90an bahkan masih popular sehingga sekarang. – Agensi
Dalam Super Mario Bros, awda akan memainkan watak Mario yang mengembara untuk menyelamatkan Princess Toadstill dan Dinosaur Land dari penjahat Bowser dan Koopaling. – Agensi
Memainkan permainan video Tetris cukup mudah dengan hanya perlu menyusun blok-blok yang jatuh memenuhi ruangan yang akan menjadi satu barisan yang lengkap. – Agensi

Sehubungan itu, terdapat beberapa permainan video retro yang dianggap masih ‘bernyawa’ sehingga kini meskipun kebanyakan permainan video retro ini terdiri daripada jenis 8-bit dan 16-bit berbanding permainan video sekarang. Di sini penulis mengongsikan beberapa permainan video retro yang masih dimainkan sehingga sekarang:

Tetris

Permainan video teka-teki yang dilancarkan pada tahun 1984 ini masih dimainkan oleh sesetengah orang pada ketika ini. Memainkannya cukup mudah dengan hanya perlu menyusun blok-blok yang jatuh memenuhi ruangan yang akan menjadi satu barisan yang lengkap. Barisan itu akan hi-lang untuk memberi ruang lain pada blok lain yang akan jatuh. Permainan akan tamat jika blok anda mencecah bahagian atas skrin.

Hasil daripada pembacaan penulis, sesetengah orang lebih suka membenarkan anak-anak kecil mereka bermain dengan permainan video ini. Ia disebabkan permainan video ini dapat menguji minda dalam menyelesaikan satu teka-teki.

Super Mario Bros

Sebut saja Mario, pasti sesiapa saja dengan mudah mengecam watak permainan video ini dalam Super Mario Bros.

Dalam permainan yang dilancarkan oleh Nintendo pada tahun 1985, awda akan memainkan watak Mario yang mengembara untuk menyelamatkan Princess Toadstill dan Dinosaur Land dari penjahat Bowser dan Koopaling.

Dalam permainan ini, awda harus melepasi semua peringkat dengan berbekal nyawa yang sedikit tetapi awda akan menerima beberapa cendawan yang mampu memberikan kemampuan lain untuk Mario. Permainan Super Mario Bros ini juga telah mengalami evolusi yang direka bentuk dalam bentuk 3D dan pelbagai versi, namun apa yang mengejutkan lebih ramai yang meminati versi retro ini kerana dianggap lebih mencabar.

Pacman

Salah satu permainan video ikonik ialah Pacman yang dilancarkan oleh syarikat Bandai Namco Entertainment pada tahun 1980.

Memainkan permainan video Pacman ini agak mudah dengan memakan semua dot yang terdapat dalam maze tertutup. Jika awda berjaya makan semua dot tersebut, awda berjaya ke peringkat seterusnya tersebut. Permainan ini bukan sahaja terkenal di Jepun malah merupakan salah satu permainan ikonik yang sudah pasti dikenali ramai. Tetapi permainan video ini semakin popular pada pertengahan tahun 90an bahkan Pac-Man masih popular sehingga sekarang.