Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JAN – Duta Besar Indonesia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko telah mengadakan lawatan kerja ke Daerah Belait dan Tutong baru-baru ini.
Dalam lawatan itu, Tuan Yang Terutama dan kakitangannya bertemu dengan Pemangku Ketua Daerah Belait, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed serta kakitangan dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Ajmin bin Haji Meludin. Dalam mesyuarat berasingan, pemangku pegawai daerah turut disertai pegawai dari jabatan-jabatan kerajaan berkaitan.
Sesi perjumpaan itu membincangkan beberapa masalah pekerjaan yang membabitkan pekerja migran Indonesia (PMI), termasuk masalah gaji tidak berbayar, perjanjian kerja tidak sesuai, tidak dapat bekerja, sakit dan keganasan.
Berhubung masalah pengambilan PMI oleh agensi buruh yang tidak mengikut prosedur yang ditetapkan, TYT Dr Sujatmiko berharap perkara sedemikian dapat ditangani dengan tegas mengikut undang-undang yang diguna pakai terutama ejen yang membawa masuk PMI secara haram dari Indonesia.
Beliau dan wakil dari Daerah Belait dan Tutong bersetuju untuk meneruskan kerjasama baik antara Kedutaan Indonesia di BSB dan pihak berkaitan di Belait dan Tutong dalam melindungi pekerja Indonesia di kedua-dua daerah itu.
Kedutaan sedia bekerjasama dengan pegawai penguat kuasa khususnya Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dan Biro Tenaga Kerja untuk mengambil tindakan terhadap ejen yang membawa masuk PMI secara haram, tanpa prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan Indonesia dan kerajaan Brunei.
Berdasarkan data lapor diri Kedutaan Indonesia di BSB, PMI di Belait berjumlah 2,604 orang manakala di Daerah Tutong berjumlah 1,179 orang.