Permasalahan Sujud Sahwi

(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wassallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

SIRI 1

SUJUD sahwi merupakan satu daripada pelengkap rahmat dan nikmat yang tidak terhingga daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke atas umat Islam seluruhnya.

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam juga adalah manusia biasa seperti kita yang pernah melakukan kesilapan dalam amal perbuatannya. Akan tetapi Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak menjadikan kesilapan dan keterlalaian Baginda itu sebagai yang sia-sia, bahkan ada hikmah di sebaliknya. Dari kesilapan tersebutlah disyariatkan sujud sahwi ke atasnya untuk menjadi ikutan umat Islam kemudian.

Dari ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu, telah berkata ia yang maksudnya, “Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah bersembahyang, berkata Ibrahim an-Nakha‘i Radhiallahu ‘anhu: “Aku tidak pasti sama ada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah menambah ataupun mengurangkan raka‘at sembahyangnya”. Maka setelah selesai Baginda memberi salam, lalu dikatakan kepadanya: “Ya Rasulullah, adakah telah berlaku sesuatu ketika Tuan bersembahyang tadi?”. Lalu Baginda pun bersabda: “Apakah yang telah berlaku tadi?”. Mereka menjawab: “Sesungguhnya Tuan telah melakukan sembahyang begini dan begini”.

Lalu Baginda pun melipatkan kedua belah kakinya seraya menghadap qiblat lalu bersujud sebanyak dua kali sujud kemudian Baginda pun memberi salam.

Apabila Baginda berpaling menghadap kami (setelah selesai memberi salam), Baginda pun bersabda: “Seandainya terjadi sesuatu (perubahan) dalam sembahyang, nescaya aku akan mengkhabarkannya kepada kamu. Akan tetapi aku hanyalah manusia biasa seperti kamu (yang boleh lupa sebagaimana halnya kamu). Andainya aku terlupa, maka ingatkanlah aku. Apabila seseorang daripada kamu merasa ragu-ragu dalam sembahyangnya, maka berusahalah untuk mencari kepastian (meyakinkan diri), lalu sempurnakanlah (sembahyang tersebut). Kemudian hendaklah dia bersujud sebanyak dua kali sujud (sujud sahwi) .” (Hadis riwayat Muslim)

Dengan sujud sahwi inilah umat Islam dapat memperbaiki sembahyang mereka seandainya berlaku sesuatu kekurangan dalam sembahyang mereka tanpa perlu untuk bersembahyang semula.

Apakah yang dimaksudkan dengan Sujud Sahwi?

Sujud sahwi ialah sujud yang dilakukan manakala terlupa atau tertinggal sesuatu yang disuruh atau melakukan sesuatu yang ditegah dalam sembahyang sama ada dengan sengaja atau sebaliknya, iaitu sebagai penampal terhadap kelalaian-kelalaian tersebut, sama ada ianya berlaku dalam sembahyang fardu mahupun sembahyang sunat.

Dari Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah bersabda yang maksudnya, “Jika seseorang daripada kamu ragu-ragu dalam sembahyangnya, maka hendaklah membuang dan meninggalkan keraguan tersebut dan tetapkanlah bilangan raka‘at yang diyakini (yang paling sedikit). Maka apabila dia telah yakin akan kesempurnaan sembahyangnya itu, hendaklah dia melakukan dua kali sujud (sujud sahwi). Jika ternyata sembahyangnya adalah sempurna (empat raka‘at), maka raka‘at tambahan (yang kelima) dan sujud sahwi tersebut adalah sebagai nafilah (amalan sunat). Dan jika ternyata sembahyangnya kurang, maka raka‘at keempat itu adalah sebagai pelengkap sembahyangnya, dan dua sujud sahwi pula sebagai pengajaran (tamparan) bagi syaitan.”(Hadis riwayat Abu Daud)

Penyebab Sujud Sahwi

Menurut mazhab asy-Syafi‘e, penyebab sujud sahwi ada dua, iaitu terlupa sesuatu yang disuruh atau melakukan sesuatu yang ditegah dalam sembahyang sama ada dengan sengaja atau sebaliknya, walaupun hanya syak terhadap perkara-perkara tersebut.

Adapun penyebab yang pertama iaitu terlupa sesuatu yang disuruh dalam sembahyang terbahagi kepada dua perkara:

1) Terlupa rukun-rukun sembahyang.

Rukun-rukun sembahyang itu ada tigabelas perkara:

1. Niat.

2. Berdiri betul.

3. Takbiratul ihram.

4. Membaca surah al-Fatihah.

5. Ruku‘ serta thuma’ninah padanya.

6. I‘tidal serta thuma’ninah padanya.

7. Sujud serta thuma’ninah padanya.

8. Duduk di antara dua sujud serta thuma’ninah padanya.

9. Membaca tahiyyat akhir.

10. Duduk membaca tahiyyat akhir.

11. Membaca shalawat ke atas Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasaallam ketika tahiyyat akhir.

12. Memberi salam.

13. Tertib.

Jika yang tertinggal itu sesuatu rukun daripada rukun-rukun di atas, maka tidaklah memadai dengan hanya melakukan sujud sahwi sahaja, bahkan mestilah menyempurnakan rukun-rukun yang tertinggal tersebut mengikut tertib sembahyang sebelum melakukan sujud sahwi.

2)Terlupa sunat-sunat ab‘adh.

Sunat-sunat ab‘adh dalam sembahyang ada enam perkara:

1) Tasyahhud awal dan duduknya.

2) Qunut subuh dan qunut witir, dan berdirinya.

3) Shalawat ke atas Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam ketika tasyahhud awal.

4) Shalawat ke atas Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam ketika qunut.

5) Shalawat ke atas keluarga Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam ketika tasyahhud akhir.

6) Shalawat ke atas keluarga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika qunut.

Jika yang tertinggal itu sunat-sunat ab‘adh, maka memadailah menggantikannya dengan sujud sahwi sahaja.

Adapun perkara-perkara sunat dalam sembahyang selain daripada sunat-sunat ab‘adh seperti doa Iftitah, membaca surah-surah selepas surah Al-Fatihah dan membaca Isti‘azah, jika terlupa untuk mengerjakannya tidaklah disunatkan untuk bersujud sahwi menurut pendapat yang paling rajih dalam mazhab as-Syafi‘e. Bahkan ianya boleh membatalkan sembahyang jika sengaja melakukan sujud sahwi sedangkan dia mengetahui akan hukumnya kerana ianya seolah-olah menambah sujud dalam sembahyang tanpa sebab-sebab yang dituntut oleh syara‘.

Dalam kitab al-Majmu‘ ada disebutkan bahawa tidak diharuskan untuk melakukan sujud sahwi jika meninggalkan sunat-sunat sembahyang yang bukan sunat ab‘adh sama ada secara sengaja ataupun tidak kerana perkara ini tidak sabit dari Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam.

Penyebab kedua pula juga terbahagi kepada dua bahagian:

1) Perkara yang jika dilakukan dengan sengaja tidak akan membatalkan sembahyang seperti menoleh, berfikir dalam sembahyang, melangkah tidak sampai tiga langkah berturut-turut dan lain-lain.

Perkara-perkara sebegini tidak disunatkan untuk melakukan sujud sahwi sama ada membuatnya secara sengaja ataupun tidak.

Dikecualikan dalam perkara ini jika sekiranya menukarkan suatu rukun qauli selain daripada salam dan takbiratul ihram ke tempat lain yang bukan tempatnya, misalnya terbaca surah al-Fatihah ketika tahiyyat akhir, ataupun terbaca bacaan tahiyyat akhir ketika rukuk.

Jika perkara ini berlaku, ia tidaklah membatalkan sembahyang walaupun disengaja kan menurut pendapat yang paling rajih sepertimana yang dijelaskan dalam kitab Mughni al-Muhtaj.

Ini adalah kerana memindahkan rukun qauli kepada yang lain dari tempatnya tidaklah mengubah rupa sesuatu sembahyang. Maka dalam hal ini, adalah disunatkan untuk melakukan sujud sahwi.

Berlainan pula halnya jika memindahkan rukun fi‘li kerana ianya mengubah rupa sesuatu sembahyang, dan akan membatalkan sembahyang jika ianya disengaja kan.

Demikian juga sunat hukumnya melakukan sujud sahwi jika terpindah bacaan-bacaan yang lain seperti zikir-zikir ruku‘, sujud, i‘tidal dan bacaan duduk di antara dua sujud ke tempat yang bukan tempatnya.

Mengenai hal ini, Imam Ibnu Hajr al-Haitami pernah ditanyakan, adakah perlu untuk melakukan sujud sahwi jika terbaca zikir ruku‘ ketika sujud ataupun bacaan sujud ketika ruku‘? Imam Ibnu Hajr al-Haitami memfatwakan, jika terbaca mana-mana zikir ruku‘, sujud, i ‘tidal dan duduk di antara dua sujud pada tempat yang bukan tempat asalnya, disunatkan untuk melakukan sujud sahwi sama ada disengaja kan ataupun tidak. Ini adalah kerana kesalahan tidak mengikut perkara yang disuruh dalam sembahyang, iaitu kegagalan untuk menjaga tatatertib bacaan.

Akan tetapi jika memindahkan salam ataupun takbiratul ihram dengan sengaja , ini boleh membatalkan sembahyang jika ianya diniatkan untuk memberhentikan ataupun untuk memulakan sembahyang. Bagaimanapun, disunatkan untuk melakukan sujud sahwi jika ianya tidak disengaja kan.

2) Perkara yang jika dilakukan dengan sengaja akan membatalkan sembahyang, antaranya makan, berkata-kata, memindahkan rukun fi‘li, menambah ataupun mengurangkan ruku‘ dan sujud.

Dalam hal ini, jika sekiranya sembahyang tersebut belum lagi batal, misalnya hanya tercakap sedikit sahaja (tidak melebihi enam patah perkataan menurut Imam Sayyid al-Bakri), maka sunatlah baginya untuk melakukan sujud sahwi.

Akan tetapi jika dia bercakap-cakap yang boleh membatalkan sembahyang, maka tidaklah perlu baginya untuk melakukan sujud sahwi lagi kerana sembahyangnya memang sudah batal.

Kayfiyyah (Cara Melakukan) Sujud Sahwi

Dalam mazhab asy-Syafi‘e, sujud sahwi dikerjakan setelah selesai membaca tahiyyat akhir sebelum memberi salam dan wajib berniat untuk melakukan sujud sahwi dalam hati.

Caranya ialah sama seperti sujud yang biasa kita lakukan dalam sembahyang iaitu sebanyak dua kali sujud dan di antara keduanya duduk di antara dua sujud. Kemudian selepas selesai dua kali sujud barulah memberi salam.

Disunatkan untuk membaca ketika dua sujud sahwi tersebut bacaan tasbih berikut yang maksudnya : “Maha suci Allah yang tidak tidur dan tidak lalai.”

Adakah Memadai Dua Kali Sujud Sahaja Jika Banyak Berlaku Kesalahan Dalam Sembahyang?

Imam Khatib asy-Syarbini menyatakan dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj, adalah memadai dengan dua sujud sahaja walaupun berlaku berbagai-bagai jenis kelalaian, sama ada tertambah, terkurang atau kedua-duanya sekali. Ini berdasarkan hadits riwayat Imam al-Bukhari, bahwasanya Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah berkata yang maksudnya:

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersembahyang fardhu Zuhur ataupun ‘Asar bersama kami, lalu Baginda memberi salam. Kemudian berkata kepadanya Zul Yadain: “Wahai Rasulullah! Adakah sembahyang telah dikurangkan?”. Lalu Baginda pun bertanya kepada sahabat-sahabatnya: “Benarkah apa yang dikatakannya?” Para sahabat lalu menjawab: “Benar wahai Rasulullah”. Lalu Baginda pun menyambung dua raka‘at terakhir sembahyangnya tadi kemudian Baginda pun melakukan sujud dua kali sujud (sujud sahwi).” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadits tersebut, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam hanya melakukan sujud sahwi sebanyak dua kali sujud sahaja sedangkan Baginda telah terlupa dua raka‘at penuh termasuk rukun-rukun serta sunat-sunat ab‘adh yang ada dalam kedua-dua raka‘at tersebut.