Permata 2.0 johan pertandingan koir

Oleh Daniel Lim

KUALA BELAIT, 10 Feb – Gema paduan suara yang hebat dan mantap anggota kumpulan koir telah menggegarkan Dewan Serba Guna Maktab Anthony Abell (AAC) Seria semasa Pertandingan Koir Lagu Patriotik Antara Mukim untuk Daerah Belait diadakan, kelmarin.

Acara anjuran Jabatan Penerangan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-35 ini diadakan bagi mempromosikan semangat patriotisme, mengenal pasti bakat dan menyediakan platform untuk membina, memupuk dan mengembangkan bakat-bakat peserta pertandingan.

Pertandingan ini juga merupakan peluang untuk Jabatan Penerangan mencari kumpulan yang mampu mempamerkan kemahiran dalam acara kebangsaan serta mempromosikan bakat pemenang pertandingan yang akan merakamkan persembahan mereka di radio.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) juga selaku Penghulu Mukim Liang, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin yang dialu-alukan oleh Ketua Jabatan Penerangan Daerah Belait, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahuddin.

Turut hadir ialah Ahli MMN dan Pemangku Ketua Kampung Labi 1, Awang Hanapi bin Mohd Siput; Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad serta para pegawai dari Cawangan Penerangan Daerah Belait, penghulu mukim, ketua kampung serta penduduk kawasan sekitarnya.

Yang Berhormat Haji Abdul Hamid menyerahkan hadiah utama kepada johan Pertandingan Koir Lagu Patriotik Antara Mukim bagi Daerah Belait, kelmarin.

Sebanyak enam kumpulan koir yang terdiri daripada penduduk dari Daerah Belait telah mengambil bahagian termasuk Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panaga dari Mukim Seria, Permata 2.0 dari Mukim Seria, Rawdah dari Mukim Belait, Al-Wanis dari Mukim Seria, An-Nasru dari Mukim Liang dan MPK Labi 1 dari Mukim Labi.

Permata 2.0 dengan lagu ‘Tanah Airku’ telah muncul sebagai pemenang utama dan membawa pulang hadiah wang tunai $1,500. Sementara Rawdah pula mendapat tempat kedua melalui lagu ‘Tekad Kemerdekaan’ dengan hadiah $1,200 diikuti oleh MPK Labi 1 dengan lagu ‘Berkibarlah Bendera’ sekali gus membolehkan mereka mendapat hadiah $1,000.

Al-Wanis, MPK RPN Kampung Panaga dan An-Nasru juga tidak pulang hampa apabila menerima hadiah sagu hati $500 sebagai penghargaan ke atas penyertaan mereka yang turut memeriahkan pertandingan.

Dalam wawancara ringkas dengan wakil media, Dayang Rosni binti Dulani yang merupakan salah seorang anggota Permata 2.0 memberitahu bahawa semua ahli kumpulan amat gembira dan berbangga dengan kemenangan mereka lebih-lebih lagi kejayaan mereka telah berjaya menjulang nama AAC.

“Setelah membuat persiapan lebih dua minggu, kami sebagai satu kumpulan dapat menumpukan perhatian untuk menyempurnakan pelbagai aspek bagi membolehkan kita melakukan yang terbaik untuk menarik perhatian para hakim dan hadirin,” katanya.

Beliau berharap pertandingan ini akan membantu mengembangkan kemahiran dan bakat kumpulan koir serta membantu menanam semangat patriotisme di kalangan peserta dan hadirin sebagai persediaan untuk sambutan Hari Kebangsaan yang akan dating.