LOS ANGELES, 18 JULAI – Permata dan barang kemas bernilai jutaan dolar telah dicuri dalam rompakan trak perisai pada minggu lalu di California Selatan, kata pihak berkuasa kelmarin.
Dalam kejadian itu, trak Brink telah dirompak pada 11 Julai berdekatan dengan Los Angeles, kata jurucakap syarikat keselamatan, Dana Callahan.
Barangan itu telah dimuatkan ke dalam trak pada 10 Julai berikutan pameran yang dianjurkan oleh Pameran Permata dan Barangan Kemas Antarabangsa di San Mateo, selatan San Francisco, kata pengarah kumpulan itu, Brandy Swanson.
Barangan itu dihantar ke aca-ra yang berlangsung di Pusat Konvesyen Pasadena di timur laut Los Angeles, katanya. Swanson berkata antara 25 dan 30 beg yang telah dicuri itu, mengandungi barangan kepunyaan pelanggan. Beliau berkata 18 mangsa melaporkan barang yang dicuri bernilai lebih dari AS$100 juta. Namun, Callahan berkata kecurian itu bernilai kurang dari AS$10 juta.
“Menurut maklumat yang diberikan oleh pelanggan kepada kami sebelum mereka membuat penghantaran barangan mereka, jumlah nilai barang yang hilang adalah kurang dari AS$10 juta,” kata Brink dalam satu kenyataan.
“Kami sedang bekerjasama dengan pasukan undang-undang, dan pelanggan akan menerima bayaran ganti rugi menurut nilai aset mereka yang dicuri, mengikut terma kontrak kami,” katanya lagi.
Jurucakap Biro Penyiasatan Persekutuan Los Angeles, Laura Eimiller berkata rompakan itu berlaku di bandar Lancaster di utara Los Angeles. Beliau berkata agensi biro bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan tetapi tidak memberikan maklumat dengan lebih lanjut.
Sementara itu, seorang peronda dikerahkan Jabatan Syerif Daerah LA, yang meronda kawasan itu, tidak mempunyai maklumat mengenai siasatan kelmarin. – AP