Permintaan arang batu tetap kukuh

PARIS, 17 DIS – Permintaan bagi arang batu akan tetap stabil selama empat tahun mendatang berikutan dengan permintaan yang kukuh daripada beberapa sektor dari Asia, meskipun kini dunia sedang berhadapan dengan krisis iklim, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), hari ini.

Arang batu menjadi sumber utama tenaga di seluruh Asia Tenggara, di mana pembangunan ekonomi telah mendorong lagi peningkatan sumber tersebut bagi tujuan tenaga.

“Permintaan arang batu global telah semakin pulih sejak tahun 2017,” kata IEA dalam satu laporan.

“Walaupun ia mungkin akan merosot pada tahun ini, kami menjangkakan ia akan tetap stabil secara berterusan selepas 2024,” kata agensi berpusat di Paris itu. Arang batu merupakan sumber utama tenaga yang digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik dan menyumbang lebih daripada 40 peratus pengeluaran CO2 yang berkaitan dengan tenaga. Ia juga digunakan secara meluas untuk penghasilan keluli dan simen.

Eropah dan Amerika Syarikat menjadi kurang bergantung kepada arang batu, tetapi penggunaannya semakin meningkat di Asia – terutamanya di India dan China yang merupakan pengeluar arang batu dan pengguna terbesar di dunia.

“Pertumbuhan tenaga dalam arang batu di Asia masih baharu – kira-kira 12 tahun, jadi ia boleh dikendalikan lagi selama beberapa dekad,” kata pengarah eksekutif IEA, Fatih Birol.

Beliau berkata ia perlu untuk mendapatkan akses kepada teknologi seperti projek penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), yang merupakan teknologi mahal yang menyimpan CO2 untuk mengelakkannya daripada mencemari atmosfera.

Buat masa ini, terdapat beberapa projek CCUS sedang beroperasi. – AFP

Arang batu menjadi sumber utama kuasa di seluruh Asia Tenggara, di mana pembangunan ekonomi telah mendorong lagi peningkatan sumber tersebut bagi tujuan tenaga. – AFP