Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permintaan ayam pedaging positif

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Permintaan semasa terhadap komoditi ayam pedaging dilaporkan akan meningkat menjelang musim cuti persekolahan akhir tahun ketika orang ramai di negara ini dijangka menghabiskan musim percutian dalam negara.

    Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dalam kenyataannya dikeluarkan kelmarin, mengatakan bahawa tren data pengeluaran bagi industri ternakan khususnya komoditi ayam pedaging di negara ini terus menunjukkan pertumbuhan positif 1.4 peratus di mana keluaran bagi tempoh lima tahun kebelakangan meningkat daripada 23,264 tan metrik pada 2015 kepada 24,584 tan metrik pada 2019, iaitu peningkatan sebanyak 1,320 tan metrik.

    Data pengeluaran bagi suku ketiga 2020 (Q3 2020) juga turut menunjukkan peningkatan keluaran sebanyak 6,643 tan metrik berbanding 6,350 tan metrik bagi suku yang sama tahun lalu, iaitu pertumbuhan 4.6 peratus. Ini merupakan satu perkembangan yang amat menggalakkan khususnya dalam situasi negara yang sedang menghadapi cabaran pandemik COVID-19 agar memastikan pengeluaran dari industri ayam pedaging tidak terjejas.

    Berpandukan kepada trend pengeluaran semasa, industri ayam pedaging bagi tahun 2020 juga dijangka merekodkan pertumbuhan positif di mana setakat bulan Oktober 2020, pengeluaran telah meningkat secara berterusan sebanyak 22,248 tan metrik berbanding 20,426 tan metrik dalam tempoh yang sama pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 8.9 peratus.

    Peningkatan ini adalah selaras dengan visi dan misi KSSUP untuk terus meningkatkan keluaran dan pertumbuhan dalam industri sumber-sumber utama bagi menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan juga kepelbagaian pembangunan ekonomi di negara ini.

    Penternakan ayam pedaging di salah sebuah kawasan di negara ini. – Gambar serahan KSSUP

    Kenyataan menambah hasil tinjauan ke beberapa syarikat pengusaha pengeluar ayam pedaging di negara ini adalah memuaskan dengan perkembangan keluaran hasil ladang masing-masing yang meningkat. Salah sebuah syarikat pengeluar terkemuka di negara ini mencatat peningkatan keluaran sebanyak 785 tan metrik pada bulan Oktober 2020, iaitu 5,574 tan metrik berbanding 4,789 tan metrik dalam tempoh yang sama tahun lalu. Ia juga sedang membangunkan beberapa buah reban berskala besar yang akan menambah lagi keluaran syarikat berkenaan mulai tahun 2021.

    Berhubung desas desus kekurangan bekalan ayam pedaging di pasaran pada masa ini, pihak KSSUP telah pun berbincang dengan pengusaha yang seterusnya menyatakan kesediaan untuk meningkatkan keluaran bagi menjamin bekalan ayam pedaging di negara ini.

    Dalam pada itu, KSSUP juga menyeru kepada para peniaga pasar raya agar mengelak melakukan sebarang kegiatan perniagaan tidak beretika seperti menyorok ataupun mengehadkan bekalan ayam pedaging kepada pelanggan, membuat permintaan secara mendadak yang akan memberikan risiko tidak dapat dipenuhi dan disarankan membuat perjanjian pembekalan berkontrak jangka panjang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda