Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Permintaan halal’ bantu tingkat eksport ke Jepun

    JOHOR BAHRU, 15 Mac – Eksport produk dan perkhidmatan halal Malaysia ke Jepun semakin meningkat dalam tempoh beberapa tahun ini berikutan peningkatan kesedaran mengenai produk dan perkhidmatan halal serta pertambahan kedatangan pelancong Muslim ke ‘Negara Matahari Terbit” itu.

    Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Dr Noraini Ahmad berkata dengan tiga tahun lagi sebelum Kejohanan Olimpik 2020 berlangsung, Jepun dijangka menjadi hos kepada lebih 20 juta pelancong semasa acara sukan terbesar dunia itu dengan lebih sejuta daripada-nya adalah orang Islam.

    “Di sinilah di mana peluang boleh dimanfaatkan oleh syarikat Malaysia. Dalam tempoh tiga tahun lepas, kita menyaksikan aliran meningkat eksport produk halal. “Pada 2014, kita mengeksport produk bernilai RM2.18 bilion manakala pada 2015, nilainya meningkat kepada RM2.21 bilion.

    “Sementara itu, dari Januari hingga September 2016, kita mengeksport produk bernilai RM1.7 bilion,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai ‘Peluang Perniagaan dalam Industri Halal Jepun’, di sini, hari ini.

    Antara empat produk halal utama yang dieksport ke Jepun ialah ramuan halal, makanan dan minuman, derivatif minyak sawit dan kosmetik serta produk penjagaan peribadi.

    Noraini berkata selain daripada produk ini, terdapat juga peluang dalam farmaseutikal halal yang merupakan kekuatan bagi syarikat Malaysia.

    Sementara itu, Pengarah Urusan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun, Akira Kajita berkata penyertaan syarikat Malaysia dalam industri halal Jepun masih lagi kecil. Beliau berharap akan ada lebih banyak kerjasama antara syarikat Malaysia dan Jepun terutamanya dalam pemprosesan makan halal, kosmetik dan restoran halal. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda