Permintaan kereta premium Audi memberangsangkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Audi telah mengedarkan sekitar 166,700 unit kereta premium ke seluruh dunia pada bulan Jun, 1.7 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas, khususnya bagi pasaran tunggal terbesar China (+22.2 peratus), sekali gus menutup bulan Jun dengan rekod baharu.

Permintaan kereta premium amat kukuh pada bulan lepas, di mana penghantaran Audi A8 mencecah 53.2 peratus.

Pertumbuhan di seluruh dunia dengan Audi Q2 (+46.2 peratus), Audi Q5 (+32.1 peratus) atau Audi Q3 baharu di Eropah (+51.0 peratus) membuktikan populariti berterusan SUV. Sejak Januari, jenama Audi mengedarkan sekitar 906,200 unit kereta (-4.5 peratus) kepada pelanggan.

Di China, jumlah edaran pada Jun meningkat kepada 58,877 unit bersamaan dengan peningkatan 22.2 peratus. Audi A4 L (+11.7 peratus) atau Audi Q5 L (+64.8 peratus) adalah antara model yang sangat popular. Versi panjang Audi Q2, SUV bandar yang dibangunkan khusus untuk pasaran China terbukti sangat berjaya apabila 3,806 unit berjaya dijual.

Sejak awal tahun ini, Audi berjaya mengedarkan 312,502 unit kereta kepada pelanggan di China atau peningkatan sebanyak 1.9 peratus untuk syarikat menutup separuh pertama tahun ini dengan angka rekod baharu.

Salah sebuah kereta premium Audi. Audi mencatatkan penghantaran kereta memberangsangkan pada Jun lalu, dengan lebih 1.7 peratus kereta premium dijual berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Di Amerika Syarikat, Audi hampir berjaya memecahkan rekod seperti tahun lepas. Walaupun kekal sebagai pasaran keseluruhan yang lemah meskipun beberapa perubahan telah dibuat, syarikat hanya berjaya mengedarkan 19,409 unit Audi Q3. Ini mewakili sedikit sebanyak 0.3 peratus tahun-ke-tahun.

Ketersediaan penuh portfolio model bersaiz penuh sejak permulaan tahun memberikan rangsangan positif: A6, A7, Q7, Q8 dan A8 menyaksikan pertumbuhan kukuh berbanding tempoh yang sama tahun lepas (+47.7 peratus).

Permintaan untuk Audi Q5, model Audi yang paling popular di Amerika Syarikat, naik 42.7 peratus pada bulan Jun. Pada separuh pertama tahun ini, syarikat telah mengedarkan sejumlah 101,440 kereta (-6.0 peratus) kepada pelanggan.

Rantau Amerika Utara menutup enam bulan pertama dengan pengedaran turun 8.6 peratus kepada 123,350 unit. Pada bulan Jun, jumlah penghantaran di rantau ini sekitar 23,200 (-5.5 peratus).

Di Eropah, Audi mengedarkan sekitar 76,050 kereta premium (-3.4 peratus) kepada pelanggan pada bulan Jun. Sejak permulaan tahun, penghantaran kumulatif berjumlah 419,450, penurunan sebanyak 4.5 peratus. Separuh pertama tahun ini terbukti positif di Perancis (+5.4 peratus), Denmark (+23.3 peratus) dan Norway (+13.7 peratus).

Jerman menutup separuh pertama tahun ini dengan 152,431 unit kenderaan dijual (-3.0 peratus).

Pada bulan Jun pasaran domestik terbukti lemah disebabkan perubahan model termasuk model paling popular, Audi A4, dan persekitaran pasaran yang tidak menentu. Jumlah penghantaran berjumlah 25,318 unit atau penurunan 8.3 peratus tahun-ke-tahun.

Audi Q3 (+60.8 peratus) dan Audi A6 (+11.4 peratus) terbukti sangat popular di pasaran Jerman pada bulan Jun.