Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Permintaan perjalanan udara meningkat – IATA

    KUALA LUMPUR, 2 Feb – Permintaan bagi perjalanan udara meningkat kepada 6.3 peratus pada 2016 berbanding tahun sebelumnya, didorong oleh langkah syarikat-syarikat penerbangan menawarkan kadar tambang lebih rendah serta laluan baharu, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

    Ketua Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alexandre de Juniac berkata aspek kesalinghubungan itu dipacu oleh kewujudan lebih 700 laluan baharu manakala pengurangan purata kadar tambang pergi balik sebanyak US$44 (US$1 = RM4.42) pula menggalakkan pengguna memilih pengangkutan udara.

    “Berikutan itu, sebanyak 3.7 bilion penumpang yang merupakan satu angka rekod, menggunakan kaedah itu untuk ke destinasi masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya, prestasi kukuh itu mengatasi kadar pertumbuhan purata tahunan 10 tahun sebanyak 5.5 peratus dengan kapasitinya mencecah sehingga 6.2 peratus berbanding 2015, sekaligus melonjakkan faktor muatan sebanyak 0.1 mata peratusan kepada angka rekod purata tahun penuh 80.5 peratus.

    “Prestasi kukuh itu dicatat pada Disember lepas yang membabitkan peningkatan permintaan sebanyak 8.8 peratus dan mengatasi pertumbuhan kapasiti sebanyak 6.6 peratus,” katanya.

    De Juniac berkata bilangan penumpang antarabangsa turut meningkat 6.7 peratus pada tahun lepas berbanding 2015 dengan kapasitinya bertambah sebanyak 6.9 peratus.

    Faktor muatan bagaimanapun, susut 0.2 mata peratus kepada 79.6 peratus, katanya.

    Menurutnya, kesemua rantau mencatat peningkatan permintaan tahun ke tahun didahului syarikat penerbangan Asia Barat (+11.8 peratus), Asia Pasifik (+8.3 peratus), Amerika Selatan dan Afrika (masing-masing +7.4 peratus) manakala Amerika Utara +2.6 peratus.

    Selain itu, katanya, perjalanan udara domestik turut meningkat kepada 5.7 peratus pada tahun lepas, kapasiti bertambah 5.1 peratus manakala faktor muatan juga naik 0.5 mata peratusan pada 2015 kepada 82.2 peratus. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda