Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Permintaan rumah kecil meningkat di Turki

    ISTANBUL – Mencari rumah harga mampu milik dan mesra alam dengan persekitaran hebat ketika harga rumah tinggi lebih-lebih lagi musim pandemik COVID-19 ini telah merangsang permintaan untuk ‘rumah kecil’ pasang siap dan mudah alih di Turki.

    Rumah kecil, sebahagian daripadanya beroda dan boleh ditarik ke mana-mana, menyediakan alternatif mesra alam kepada rumah tradisional dan semakin popular di kalangan rakyat Turki.

    Menurut data rasmi yang dikeluarkan oleh Institut Statistik Turki, sekitar 1.5 juta rumah kecil telah dijual pada 2021, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 30 peratus.

    Buat pertama kalinya, ‘pameran rumah kecil’ telah dianjurkan di Istanbul, ibu kota ekonomi Turki, awal Februari dan menarik sejumlah besar pengguna apabila syarikat pembinaan mempamerkan produk dan reka bentuk terbaharu mereka.

    “Selepas wabak itu, orang ramai mula mencari alternatif penginapan. Ini membawa kepada ledakan jualan sebanyak 100 hingga 150 peratus,” jelas Galip Olmez, Ketua Pegawai Eksekutif Yako Groups, syarikat terbesar Turki yang membina rumah kecil, kepada Xinhua.

    Gambar menunjukkan pemandangan sebuah rumah kecil di Istanbul, Turki. – Xinhua
    Pekerja memasang rumah kecil pada trak di Izmir, Turki. – Xinhua

    “Jika awda sudah mempunyai sebidang tanah atau jika awda sanggup membelinya, ia adalah pilihan yang bagus. Menempatkan rumah kecil di tanah ini telah menjadi trend kehidupan ekologi baharu di Turki,” katanya.

    Yako Groups menghasilkan kira-kira 500 rumah kecil setahun, mengeksport sebahagian daripadanya dalam kit yang siap dibina untuk pelanggan Eropah dan Timur Tengah. Harga berbeza antara AS$15,000 dan AS$30,000, bergantung pada saiz 15 hingga 40 meter persegi.

    Semasa di Istanbul, bandar paling ramai penduduk di negara ini dengan 16 juta penduduk, rumah tradisional dua bilik tidur di kawasan kejiranan yang baik berharga sekitar AS$55,550, rumah kecil adalah pilihan yang lebih murah.

    Sepanjang tahun lalu, kos tanah di Turki telah meningkat secara purata sebanyak 20 peratus. Plot tanah dengan akses terus ke laut telah meningkat hampir dua kali ganda harga di bandar pantai seperti Izmir dan Antalya.

    Di samping itu, kos bahan binaan telah meningkat sebanyak satu setengah kali ganda, disebabkan terutamanya oleh inflasi yang berleluasa hampir 50 peratus, menurut data rasmi yang diterbitkan pada awal Februari.

    Kos rendah bukan satu-satunya tarikan untuk pencinta rumah kecil. Untuk dekat dengan alam semula jadi dan mudah ditarik juga merupakan alasan yang meyakinkan.

    “Kami pernah memiliki karavan, tetapi kami memilih rumah kecil yang luas dan moden, dengan panel suria untuk tenaga, dan supaya kami boleh berdikari,” kata Seref Bozkir, pemilik rumah seluas 30 meter persegi kepada Xinhua.

    Ketika dunia menyaksikan kenaikan harga tenaga, isi rumah Turki berdepan dengan bil elektrik astronomi, kata Bozkir, sambil menambah sebuah rumah kecil adalah sangat berpatutan.

    Bagaimanapun, Bozkir berkata inflasi yang tinggi turut menaikkan harga rumah-rumah kecil.

    Pada 2020, sebuah rumah kecil bernilai 100,000 lira Turki (AS$7,500) kini berharga sekitar 250,000 lira (AS$18,500), yang merupakan jumlah yang besar di negara di mana purata pekerja memperoleh kira-kira 5,000 lira (AS$370) setiap bulan.

    Media sosial melaporkan terdapat beberapa kes keluarga muda dan orang bersara yang memilih kediaman saiz kecil di bandar besar kepada rumah kecil di kawasan luar bandar untuk mendekati alam semula jadi.

    Rumah kecil juga semakin popular dalam industri pelancongan. “Membeli 10 rumah kecil memerlukan pelabur satu per 10 daripada kos membina hotel butik 10 bilik,” kata Olmez. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...