Permintaan tenusu global 2021 dijangka kekal kukuh

KUALA LUMPUR, 7 MAC – Permintaan tenusu global dijangka kekal kukuh pada 2021 ketika banyak negara mencerminkan keyakinan pemulihan daripada COVID-19 dengan pelancaran vaksin dan peningkatan ekonomi global secara beransur-ansur.

Pengarah Urusan Dutch Lady Milk Industries Bhd, Tarang Gupta berkata pasaran masih tidak menentu dan tertakluk kepada pelbagai ketidaktentuan domestik serta global, kelembapan ekonomi dan turun naik kadar pertukaran asing yang boleh menjejaskan industri.

“Kami juga amat menyedari kesan sekatan perjalanan COVID-19 yang berterusan ke atas ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Dalam jangka masa panjang, kumpulan itu kekal optimistik terhadap prospek industri dan akan terus mengguna pakai strategi baharu bagi memastikan kesinambungan serta kemapanan perniagaannya untuk terus menguasai pasaran.

“Di samping itu, kami akan terus melabur dalam jenama kami dan memberi tumpuan kepada pemacuan penembusan susu melalui inovasi untuk mendapatkan peluang baharu.

“Pembekalan susu akan kekal tinggi dalam agenda Dutch Lady. Jadi, produk kami sentiasa berada di rak untuk memastikan rakyat Malaysia terus menerima manfaat,” katanya sambil menambah Dutch Lady tetap konsisten dalam usaha menyihatkan negara di samping menyokong agenda keselamatan makanan negara Malaysia.

Dutch Lady, baru-baru ini telah melancarkan Dutch Lady MaxGro – Makanan Diet Formula berasaskan susu pertamanya, produk yang dirumus khas dengan nutrien terpilih untuk membantu memberikan 80 peratus pengambilan nutrien yang disyorkan kepada kanak-kanak bagi menyokong pertumbuhan fizikal mereka dan memastikan perkembangan yang optimum.

Gupta berkata susu formula adalah kategori yang agak kompetitif di negara ini dan syarikat sentiasa berusaha untuk meningkatkan bahagian pasarannya.

Dutch Lady pastinya berharap produk baharu itu akan membantu meningkatkan jualan dan bahagian pasaran syarikat.

“Bagaimanapun, kami tidak dibenarkan membuat sebarang spekulasi berikutan status kami sebagai syarikat tersenarai di Malaysia,” katanya.

Sebagai syarikat tenusu terkemuka di Malaysia, Dutch Lady akan terus merangsang negara dengan pemakanan yang lebih baik melalui susu termasuk menyokong kepentingan susu sebagai sebahagian daripada diet yang sihat dan seimbang.

“Kami teruja untuk membesar dengan rakyat Malaysia dan tampil dengan produk khusus bagi keperluan mereka pada masa akan datang,” katanya lagi. – Bernama