Permintaan terakhir ibu, ‘pastikan anak saya divaksin’

WASHINGTON, 20 OGOS – Seorang wanita warga Texas yang sebelum ini enggan terima vaksin COVID-19, menggesa empat anaknya disuntik, pada saat-saat akhir hayatnya.

Kematian guru piano, Lydia Rodriguez, 42, di bandar kecil La Marque pada Isnin lalu berlaku dua minggu selepas suaminya, Lawrence, 49, meninggal dunia akibat virus berkenaan.

Sepupunya, Dottie Jones, memberitahu stesen televisyen tempatan, ABC123 bahawa pasangan itu tidak percayakan vaksin dan sudah terlalu lewat ketika Rodriguez mengubah fikiran.

“Sebelum dia diintubasi, antara permintaan terakhir dimaklumkan kepada kakaknya adalah ‘tolong pastikan anak saya divaksin’.

“Dia pasti masih bersama anak-anaknya jika menerima vaksin sebelum ini,” katanya. Pasangan itu adalah antara puluhan juta rakyat Amerika Syarikat (AS) yang masih belum menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, ketika varian Delta menular dengan pantas di seluruh negara itu.

Di Texas, varian Delta kini menjadi strain dominan dan jumlah kes kematian melonjak dengan ketara, kebanyakannya dalam kalangan penduduk yang belum menerima vaksin.

Jones, yang juga seorang jururawat, berkata beliau berusaha meyakinkan Rodriguez untuk mendapatkan suntikan, namun tidak berjaya.

“Saya sangat kecewa apabila orang ramai masih percayakan maklumat salah yang sedang disebarkan. Maklumat salah ini meragut nyawa orang dan kita perlu menyebarkan kebenaran,” katanya. – AFP

Gambar fail Lydia Rodriguez bersama suaminya sebelum dijangkiti COVID-19. – Agensi