Permintaan terhadap cip untuk ventilator meningkat

KUALA LUMPUR, 12 MEI – Key ASIC Bhd (Key ASIC), syarikat teknologi canggih yang mereka bentuk dan memasarkan cip ASIC kepada pelanggan di Asia, Amerika Syarikat dan Eropah, telah menerima permintaan tinggi terhadap cip yang dimasukkan dalam ventilator baru-baru ini.

Pengerusinya Eg Kah Yee berkata syarikat itu juga telah memulakan platform mereka bentuk ventilator generasi seterusnya yang akan dikuasakan oleh teknologi Internet Pelbagai Perkara berkaitan Perubatan (IoMT) dan kecerdasan buatan (AI) yang terkini supaya ventilator itu dapat menyediakan kesan terapi yang lebih baik kepada pesakit.

“Pada masa yang sama, ia membolehkan petugas penjagaan kesihatan profesional mengendalikan ventilator dan memantau pesakit dari jarak jauh, untuk mengurangi risiko jangkitan secara signifikan golongan petugas barisan hadapan di hospital.

“Generasi baharu peralatan pintar di hospital berdasarkan Internet Pelbagai Perkara dan teknologi AI diperlukan untuk menangani penyakit yang sangat mudah berjangkit dan semakin kompleks,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara pelanggan Key ASIC yang menggunakan cip dalam ventilator ialah syarikat teknologi yang berpangkalan di Taiwan, RAiO International dan dua syarikat lain.

Ketua Pegawai Eksekutif RAiO C.T. Su berkata penyebaran pandemik COVID-19 yang meluas dan cepat di seluruh dunia, ramai pesakit yang menghidap jangkitan paru-paru (pneumonia), memerlukan ventilator untuk rawatan tersebut.

Beliau berkata sebahagian besar ventilator adalah mesin berkomputer dengan pelbagai cip dan skrin paparan, bagaimanapun generasi ventilator seterusnya harus direkabentuk dengan teknologi IoMT dan AI untuk memenuhi keperluan baharu seperti yang berlaku ketika pandemik tersebut.

Su berkata pasaran global telah diunjur berkembang kurang daripada AS$4 juta pada tahun 2019, dan meningkat kepada AS$26.66 juta pada 2027 akibat wabak tersebut.

“Sejak wabak tu merebak, kami menerima peningkatan permintaan berlipat ganda untuk cip digunakan dalam ventilator itu berikutan jumlah kes jangkitan terus meningkat di kebanyakan negara  Kami menjangkakan permintaan itu terus kukuh untuk separuh kedua tahun ini dan mungkin tahun depan juga,” katanya. – Bernama