KUALA LUMPUR, 9 April – Walaupun penggunaan minyak kacang soya dan biji sesawi oleh China dilihat telah menyeret turun import minyak sawit dari Malaysia sejak beberapa bulan lepas, tetapi keadaan itu tidak akan bertahan lama kerana permintaan terhadap minyak masak itu dijangka pulih.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Dr Kalyana Sundram berkata, beliau yakin akan berlaku peningkatan dalam import minyak sawit oleh China, terutama dari wilayah tepi pantai dan dalaman, berikutan aktiviti promosi di negara tersebut.
“Sebahagian besar minyak sawit kini tidak sampai ke wilayah pantai dan dalaman walaupun mempunyai penduduk yang ramai berikutan masalah logistik,” katanya kepada Bernama.
Kalyana berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, MPOC merancang melaksanakan lebih banyak aktiviti promosi di China.
“Kami sedang merancang pelbagai kaedah promosi dalam usaha membawa minyak sawit ke wilayah dalaman,” katanya.
Selain itu, kata Kalyana, MPOC bekerjasama dengan pengeluar kayu Cina tempatan, usahawan dan industri bukan makanan untuk melakukannya. – Bernama