Permohonan bagi Biasiswa Chevening dibuka

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Mereka yang minat untuk melanjut pengajian di United Kingdom (UK) dialu-alukan untuk memohon Biasiswa Chevening di mana permohonan bagi biasiswa berkenaan kini dibuka sehingga 2 November dan perlu dihantar melalui www.chevening.org/apply.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, di sini, Biasiswa Chevening dianugerahkan kepada individu-individu daripada semua latar belakang yang dapat menunjukkan bahawa mereka mempunyai komitmen dan kemahiran yang diperlukan bagi menjana perubahan positif serta menunjukkan bagaimana ijazah sarjana UK dapat membantu mereka melakukannya.

Biasiswa itu menawarkan sokongan pembiayaan penuh kepada para pelajar bagi mana-mana ijazah sarjana yang layak di mana-mana universiti UK sambil memperoleh akses kepada pengalaman kebudayaan, profesional dan akademik eksklusif yang luas.

Sejak program itu dilaksanakan pada 1983, lebih 50,000 orang profesional telah berpeluang untuk membangun di UK melalui Chevening di mana lebih daripada 1,500 biasiswa ditawarkan secara global bagi tahun akademik 2022/2023, yang menunjukkan komitmen berterusan UK ke arah membangunkan pemimpin hari esok.

Kenyataan memetik Ketua Biasiswa, Pejabat Pembangunan, Komanwel dan Hal Ehwal Luar UK, Naomi Rayner yang berkata, dengan dunia terus menangani isu-isu global utama seperti perubahan iklim dan COVID-19, kerjasama antarabangsa adalah amat penting.

Dalam hubungan itu, Chevening dihasratkan untuk membangunkan sebuah komuniti antarabangsa yang mengandungi warga yang komited bekerjasama bagi memacu perubahan positif.

“Kita dapat melakukannya dengan mengumpulkan warga yang hebat dari seluruh dunia dan menyokong mereka, menerusi pendidikan, untuk mencapai matlamat mereka,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa di UK, pihaknya bangga dengan universiti-universiti bertaraf dunia dan tahu bahawa persekitaran pembelajarannya diperkaya lagi oleh pelbagai budaya, pengalaman dan pandangan luas yang mewakili kampus-kampusnya.

Oleh itu, cendekiawan Chevening memberikan sumbangan signifikan kepada komuniti berkenaan serta juga menjadikan bahagian yang penting dalam rangkaian lebih 50,000 orang ahli alumninya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe berkata bahawa Chevening adalah lebih daripada hanya sebuah ijazah sarjana tetapi ia merupakan peluang untuk mengalami sendiri sejarah dan warisan Britain, membincangkan dasar antarabangsa serta berinteraksi dengan pemimpin pemikiran dalam pelbagai bidang akademik, kebudayaan dan acara sosial.

“Jika awda adalah seorang yang amat bersemangat mengenai menerajui perubahan, baik di peringkat tempatan atau global, jika awda ingin menjadi terbaik dalam apa yang awda lakukan dan jika awda mempunyai imaginasi untuk memberi inspirasi kepada orang lain, Biasiswa Chevening adalah peluang yang tepat bagi awda,” ujar beliau.

TYT John Virgoe berkata lagi bahawa tidak ada istilah cendekiawan khas kerana usia, jantina, bangsa, latar belakang kebudayaan dan agama mereka adalah tidak penting tetapi pihaknya ingin melihat mereka yang bertenaga, rasa ingin tahu, belas kasihan, mempunyai visi yang jelas bagi masa hadapan mereka serta berupaya untuk mencapai matlamat mereka.

Beliau menambah bahawa rangkaian alumni mereka dipenuhi oleh pemengaruh yang dinamik di mana mereka berkongsi pengalaman yang sama dengan mereka yang bakal menerima biasiswa itu serta akan dapat menawarkan galakan, nasihat, kontak serta bimbingan.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan kelayakan bagi biasiswa berkenaan, mereka boleh melayari laman sesawang www.chevening.org/scholarship.
Dalam hubungan itu, beliau mengalu-alukan mereka yang berminat untuk memohon bagi Biasiswa Chevening berkenaan untuk memohon sebelum tarikh tutup.