Permohonan bagi biasiswa Jepun dibuka

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Kedutaan Besar Jepun di Brunei Darussalam kini menerima permohonan untuk Program Biasiswa Kerajaan Jepun bagi 2021 daripada pelajar-pelajar Brunei yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian di Jepun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Besar Jepun, Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan dan Teknologi (MEXT) Jepun menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar antarabangsa untuk belajar di Jepun di bawah program berkenaan setiap tahun.

Biasiswa berkenaan bertujuan untuk melahirkan sumber-sumber manusia yang, menerusi pengajian di Jepun, akan menjadi jambatan persahabatan antara Brunei dan Jepun serta yang akan menyumbang kepada pembangunan kedua-dua buah negara dan seluruh dunia.

Kenyataan menjelaskan, terdapat empat jenis biasiswa yang ditawarkan di bawah program tersebut iaitu pelajar-pelajar penyelidikan, pelajar-pelajar sarjana muda, pelajar kolej teknologi dan pelajar kolej latihan khusus.

Komposisi setiap program adalah berlainan tetapi semuanya meliputi perbelanjaan tuisyen dan sara hidup serta bayaran pengangkutan antara kedua-dua buah negara.

Ini merupakan peluang berharga bagi rakyat Brunei untuk belajar di Jepun, yang akan meluaskan pandangan dan meningkatkan prospek kerja masa depan. Di bawah program itu, pelajar bukan sahaja berpeluang meningkatkan kelayakan akademik malah mempelajari mengenai rakyat Jepun, budaya dan bahasa mereka.

Para pelajar yang berminat perlu menghantar dokumen permohonan kepada kedutaan tersebut tidak lewat 7 Ogos 2020. Ujian bertulis bagi biasiswa tersebut akan diadakan pada penghujung Ogos 2020. Maklumat lanjut dan dokumen permohonan boleh didapati menerusi laman sesawang kedutaan berkenaan.