Permohonan bekas penguasa polis ditolak

Oleh Ak Zaki Kasharan

6BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Mahkamah Tinggi di sini, kelmarin, telah menolak permohonan seorang bekas pegawai kanan polis terhadap perintah bagi hukumannya dijalankan sejak ia dijatuhkan pada Februari 2019.

Haji Khairur Rijal bin Haji Abu Salim memohon agar hukuman ke atasnya itu dijalankan sejak mula penangkapannya bagi siasatan oleh Biro Pencegahan Rasuah (BMR).

Haji Khairur Rijal melalui peguamnya, Roy Prabhakaran dan Anlan Hee, berusaha meyakinkan Ketua Hakim, Dato Seri Paduka Steven Chong supaya menggunakan hak pengadilan untuk mempertimbangkan semula keputusan bagi mengelakkan ketidakadilan.

Ketua hakim mengatakan bahawa pemohon tidak mengemukakan bahan yang mencukupi bagi menyokong mereka agar mahkamah menggunakan kuasanya untuk menyemak semula keputusan dan tidak menunjukkan bahawa berlakunya sebarang ketidakadilan.

Dato Seri Paduka Steven Chong juga mengatakan bahawa majistret telah membuat keputusan tepat untuk memerintahkan hukuman itu bermula pada tarikh ia dijatuhkan kerana pemohon tidak direman dalam tahanan atas tuduhan terhadapnya tetapi ditahan di bawah ISA yang merupakan perkara yang sama sekali berlainan dan di luar bidang kuasa mahkamah.

Mantan penguasa polis, Haji Khairur Rijal dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret pada Februari 2019 kerana didapati bersalah setelah dibicarakan kerana menerima kenderaan pikap sebagai rasuah daripada Pengarah Urusan Say Koo (Liew) Sdn Bhd dan L&E Contractor, Liew Say Koo sebagai pertukaran untuk membantu kemasukannya ke Negara Brunei Darussalam setelah diusir dan dilarang masuk semula ke negara ini pada November 2007.

Mahkamah juga memerintahkan Haji Khairur Rijal untuk membayar denda sebanyak $12,000 atau menjalani hukuman penjara tambahan selama tiga bulan jika tidak membayar, kerana nilai menggunakan kenderaan itu dari Jun 2014 hingga tarikh penahanannya.

Pada Oktober 2019 lalu, ketua hakim menolak rayuan Haji Khairur Rijal terhadap sabitan dan hukuman.

Timbalan Pendakwa Raya Shamshuddin Kamaluddin dan Pengiran Hajah Nor ‘Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin mewakili pendakwa raya sebagai responden.