Permohonan biasiswa kerajaan dibuka

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jan – Permohonan Skim Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Keluar Negeri bagi sesi Akademik 2017/2018 bagi pengajian ke tahap Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dibukakan kepada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang memegang kad pengenalan pintar berwarna kuning serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Kementerian Pendidikan dalam surat pemberitahuannya yang boleh didapati di laman webnya di alamat http://www.moe.gov.bn telah menggariskan syarat-syarat permohonan biasiswa bagi ketiga-tiga peringkat pengajian berkenaan.

Antara syarat-syarat utama, memperoleh minima Kredit C6 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dalam Peperiksaan BC-GCE ‘O’ Level dan minima Kredit C6 bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris BC-GCE ‘O’ Level atau Minima Gred C bagi mata pelajaran IGCSE English as a Second Language atau Minima Gred C bagi mata pelajaran General Paper BC-GCE ‘A’ Level atau IELTS Overall Band minima 6.5 yang diperolehi tidak melebihi dua tahun kebelakangan. Syarat-syarat akademik mengikut peringkat kursus yang dipohon.

Selain itu, berumur tidak melebihi 26 tahun bagi Ijazah Sarjana Muda (Bachelors) dan 30 tahun bagi Ijazah Sarjana dan Ph.D pada 1 September 2017.

Permohonan bagi Ijazah Sarjana Muda boleh dibuat secara online dengan melayari laman web http://www.hecas.edu.bn mulai 25 Februari 2017 hingga 15 Mac 2017 (pusingan HECAS pertama) bagi kemasukan bermula Ogos 2017, sementara itu, tarikh pusingan HECAS kedua bagi kemasukan bermula Ogos 2017 atau Januari 2018 akan dimaklumkan kemudian.

Bagi Ijazah Sarjana dan Ph.D, permohonan hendaklah dibuat dengan mengisi dan melengkapkan borang yang boleh didapati daripada Bahagian Biasiswa, Kaunter B3, Tingkat 5, Blok C, Kementerian Pendidikan mulai 5 hingga 26 Jun 2017 dengan kemasukan bermula Ogos 2017.

Maklumat lanjut cara-cara permohonan boleh didapati laman sesawang Kementerian Pendidikan.

Syarat-syarat tambahan permohonan biasiswa bagi ketiga-tiga peringkat pengajian berkenaan adalah mestilah lulus temu duga pemilihan, bersih dalam tapisan keselamatan, disahkan sihat dalam pemeriksaan kesihatan (kesahan enam bulan), lulus ujian lisan Bahasa Melayu yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Ujian Lisan Bahasa Melayu Kementerian Pendidikan serta kursus atau program dan tempat pengajian yang akan diikuti hendaklah diiktiraf oleh Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan, Negara Brunei Darussalam (MKPK).

Surat pemberitahuan itu turut memberitahu bahawa permohonan-permohonan yang tidak dipertimbangkan adalah termasuk tidak memenuhi syarat-syarat utama dan tambahan, sedang berkhidmat dengan kerajaan sama ada dalam jawatan tetap, percubaan atau open vote, permohonan yang dihantar selepas tarikh tutup atau yang tidak lengkap diisi atau salinan sijil dan dokumen yang tidak disahkan atau mempunyai maklumat palsu/tidak benar serta pemohon yang sudah mendaftar dan sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan.