Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam yang ingin melanjutkan pendidikan ke Jepun adalah di-alu-alukan untuk menghantar permohonan bagi mengikuti Program Biasiswa Kerajaan Jepun bagi 2022 yang ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan dan Teknologi (MEXT), Jepun kepada pelajar-pelajar antarabangsa yang berminat untuk menuntut di Jepun.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, di sini, hari ini, kedutaan berkenaan kini menerima permohonan bagi Program Biasiswa Kerajaan Jepun berkenaan daripada pelajar-pelajar Brunei. Kenyataan menyatakan lagi biasiswa yang ditawarkan setiap tahun itu bertujuan untuk memupuk sumber manusia menerusi pengajian di Jepun, akan menjadi jambatan persahabatan di antara Brunei dan Jepun serta akan menyumbang kepada pembangunan kedua-dua negara dan juga dunia.
Empat jenis biasiswa ditawarkan menerusi program biasiswa berkenaan iaitu Pelajar Penyelidikan, Pelajar Sarjana Muda, Pelajar Kolej Latihan Khusus dan Pelajar Kolej Teknologi, dengan kandungan setiap program adalah berbeza tetapi kesemua program meliputi tuisyen, perbelanjaan kehidupan serta yuran perjalanan di antara Brunei dan Jepun. Ia merupakan peluang yang berharga bagi warga Brunei untuk belajar di Jepun di mana ia akan memperluaskan lagi pemandangan mereka dan meningkatkan prospek pekerjaan masa hadapan mereka.
Di bawah program berkenaan, para pelajar bukan sahaja akan berpeluang untuk meningkatkan kelayakan akademik mereka tetapi juga mempelajari mengenai masyarakat, budaya dan Bahasa Jepun. Sehubungan itu, para pelajar yang berminat dikehendaki untuk menghantar dokumen permohonan mereka kepada Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam tidak lewat 28 Mei 2021.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan borang permohonan, boleh melayari laman sesawang Kedutaan Jepun, http://www.bn.emb-japan.go.jp/itpr_en/education.html.