Permohonan gerai Ramadan stadium dibuka

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MAC – Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan membukakan permohonan untuk mendapatkan petak berjaja di gerai Ramadan di Kawasan Letak Kereta Zon ‘L’, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Jabatan berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menyatakan, permohonan dibukakan khusus kepada warga negara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam.

Keutamaan penyertaan diberikan kepada belia berumur antara 18 hingga 35 tahun dan persatuan-persatuan belia dan sukan.

Gerai Ramadan berkenaan dibahagikan kepada beberapa kategori dan kadar bayaran dengan kategori A bagi belia dan persatuan belia dan sukan pada kadar $250, kategori B dibukakan kepada orang ramai dengan kadar $350, sementara itu, kategori C pula untuk golongan sasaran dari Jabatan Belia dan Sukan dengan kadar $100.

Semua kategori berkenaan adalah untuk jualan berbentuk bawa balik, hidangan makanan dan minuman yang diproses, makanan bersalai atau panggang dan jualan buah-
buahan.

Pihak jabatan juga mengingatkan, setiap permohonan hanya dibenarkan maksima dua petak gerai saja.

Sehubungan itu, borang penyertaan boleh didapati daripada syarikat yang dilantik iaitu Riza Fudhlana Management Service di Kampung Lambak.

Untuk sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Bahagian Belia, Tingkat 3, Jabatan Belia dan Sukan, Bangunan KKBS di talian 2381903/4 sambungan 1304.