Permohonan ikat jamin ditolak

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jan – Mahkamah Tinggi hari ini, menolak permohonan ikat jamin kepada seorang pengarah urusan syarikat pembinaan yang dituduh memberi rasuah kepada seorang pegawai polis.

Hakim Dato Paduka Steven Chong menolak permohonan yang dibuat oleh Peguam Roy Prabakaran yang mewakili anak guamnya, Liew Say Koo selepas bersetuju dengan bantahan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Suriana H.Radin membantah sebarang ikat jamin kerana dikhuatiri tertuduh akan melarikan diri dan penahanannya akan menjamin kehadirannya dalam prosiding.

Liew Say Koo dibicarakan penghujung tahun lalu selepas mengaku tidak bersalah atas dakwaan memberi rasuah berupa kereta Toyota Hilux kepada Penguasa Khairul Rijal bin Haji Abdul Salim, pada 2012.

Suapan itu adalah sebagai ganjaran kerana telah membantunya untuk masuk dan keluar dari Negara Brunei Darussalam berulang kali antara tahun 2011 dan 2013.

Tertuduh yang merupakan warga Malaysia diusir dari Brunei selepas menjalani hukuman dua tahun penjara pada 2007 atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat ke atas teman wanitanya yang berusia 26 tahun.

Tertuduh diberkas di Miri pada awal Oktober 2016 selepas waran tangkap dikeluarkan ke atasnya.