Permohonan ITQSHHB kini dibuka

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) sedang membukakan tawaran pengambilan pelajar baharu peringkat menengah (Tahun 7) ITQSHHB bagi sesi 1442H/2021M yang telah bermula kelmarin hingga 17 Ogos depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, syarat-syarat kemasukan termasuk terdiri daripada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atau penduduk tetap.

Bagi yang bukan rakyat (ibu bapa bertugas di jabatan kerajaan atau syarikat-syarikat berkaitan kerajaan di Negara Brunei Darussalam), boleh memohon dengan menghadapkan surat permohonan khas ke lembaga ITQSHHB melalui pengetua institut.

Selain itu, pemohon juga tidak melebihi umur 14 tahun pada 1 Januari 2021 atau berada dalam Tahun 6 di sekolah-sekolah kerajaan atau swasta pada 2020, lulus dengan memperolehi sekurang-kurangnya pangkat C dalam semua mata pelajaran bagi peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) atau yang setaraf dengannya, lulus temu duga hafazan Al-Quran yang dijalankan di ITQSHHB, berkesanggupan tinggal di asrama sepanjang tempoh pengajian, memenuhi peraturan-peraturan ITQSHHB dan penerimaan pelajar tertakluk kepada keputusan Lembaga ITQSHHB.

Borang permohonan boleh diperolehi di Pejabat ITQSHHB atau muat turun melalui laman sesawang www.kheu.gov.bn.

Borang yang lengkap diisi hendaklah dikembalikan di pejabat berkenaan pada 6 Julai 2020 dan tidak lewat 17 Ogos semasa waktu pejabat iaitu 8 pagi hingga 4 petang.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perkara berkenaan juga boleh menghubungi talian 2222090/2222093/2222096 sambungan 229/230&206.