Permohonan rayuan ditolak, hukuman dikekalkan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Seorang anggota beruniform terpaksa akur dengan tempoh dua tahun 11 bulan penjara dan tiga sebatan yang perlu dijalaninya apabila permohonan rayuannya untuk pengurangan hukuman diketepikan Mahkamah Tinggi di sini, kelmarin.

Norazrin bin Besar (perayu) sebelum ini disabitkan kesalahan selepas perbicaraan atas pertuduhan bersubahat membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini dan memberi perlindungan kepada mereka.

Permohonan rayuan itu ditolak Ketua Hakim Dato Seri Paduka Steven Chong yang turut mengecam perbuatan perayu yang disifatkan mengkhianati kepercayaan masyarakat terhadap anggota beruniform.

“Ini adalah pelanggaran kepercayaan oleh anggota beruniform yang sepatutnya melindungi orang awam dari jenayah dan menjaga ketenteraman serta undang-undang namun apa yang dibuat perayu ialah menyalahgunakan kedudukannya untuk melakukan kesalahan serius,” kata ketua hakim yang turut berpendapat hukuman yang dijatuhkan mahkamah yang membicarakan tertuduh adalah tidak berlebihan.

Pertuduhan terdahulu menyebut, perayu dan rakan sejenayahnya membawa tiga wanita warga Filipina yang tiba dari Labuan menggunakan bot di Pantai Serasa pada 25 Oktober 2017 ke berek mereka. Ketiga-tiga wanita pendatang tanpa izin ini kemudian diberkas pada 31 Oktober 2017 oleh polis yang menjalankan serbuan di berek tersebut.