Permohonan vaksinasi di Labuan meningkat

LABUAN, 17 JUN – Jumlah penduduk Labuan yang mendaftar untuk permohonan vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera meningkat dengan ketara semalam.

Peningkatan secara tiba-tiba daripada 66.11 peratus semalam kepada 73.2 peratus hari ini adalah susulan berita pelaksanaan prosedur ‘walk-in’ (mulai esok), pembukaan lima pusat vaksinasi dan penghantaran 30,000 dos vaksin ke Labuan sejak beberapa hari lepas. Pada 1 Jun jumlah pendaftaran bagi vaksin COVID-19 berada pada 40.8 peratus. Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Labuan Rithuan Ismail berkata penduduk tempatan sudah mulai sedar risiko besar tidak mendapatkan vaksin, dengan melihat kepada jumlah kematian harian di pulau itu.

“Suka kami jelaskan di sini bahawa terdapat peningkatan ketara permohonan untuk vaksinasi dalam MySejahtera, kami harap momentum akan berterusan sehingga lebih 80 peratus, kerana kita mahu lihat lebih ramai penduduk sini menjalani program vaksinasi. – Bernama