Permulaan baik buat DPMM FC

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Pasukan Brunei DPMM FC berjaya melakar kemenangan pertama dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Singapura setelah menewaskan Pasukan Tampines Rovers 2-0, yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, malam ini.

Berkenan berangkat menyaksikan perlawanan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Pada perlawanan tersebut, Charlie Clough berhasil mencipta gol pendahuluan di minit ke-24 dengan Andrei Voronkou memberikan Pasukan Brunei DPMM FC kemenangan selesa ke atas Tampines Rovers di minit-minit akhir perlawanan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Jaringan pertama DPMM FC hadir pada separuh masa pertama hasil pemain import pasukan yang memulakan serangan dengan menewaskan penjaga gol Tampines.

DPMM FC menggandakan kelebihan dengan jaringan kedua ketika perlawanan memasuki minit-minit akhir menerusi jaringan Andrey Voronkov, yang menghasilkan gerakan menarik dengan jaringan sempurna memberi kelebihan selesa buat DPMM FC.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan berangkat menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Perdana Singapura di antara Pasukan Brunei DPMM FC dengan Tampines Rovers FC yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, malam tadi. – Gambar oleh Infofoto
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah semasa berkenan menerima junjung ziarah sejurus keberangkatan tiba di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Antara aksi menarik pemain DPMM FC ketika menentang pemain Tampines Rovers di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Pasukan Brunei DPMM FC bergambar ramai sebelum perlawanan.

Tampines cuba bangkit bagi sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan dan usaha mereka tidak kesampaian.

Kedudukan kekal 2-0 hingga wisel penamat sekali gus meneruskan momentum DPMM FC untuk kekal sebagai pesaing kuat bagi liga musim ini.

Pada minit ke-92, Taufik Suparno telah diarah keluar padang selepas dilayangkan kad merah, menambah kekecewaan lagi buat Tampines.

Kemenangan itu meletakkan skuad DPMM FC di tempat ketiga liga selepas berjaya mengutip tiga mata penuh. Albirex Niigata berada di kedudukan teratas liga manakala Hougang United di tempat kedua. Pasukan-pasukan lain pastinya tergugat dengan DPMM FC mahu mengekalkan gelaran sebagai juara.

Saingan DPMM FC seterusnya adalah menentang pasukan di tempat pertama liga, Albirex Niigata pada 13 Mac ini.