Permulaan cemerlang Brunei

Oleh Fadhil Yunus

MANILA, 1 DIS – Negara Brunei Darussalam memulakan kempen Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30 di Manila, Filipina dengan cemerlang selepas pembukaan rasmi temasya sukan itu pada Sabtu dengan meraih dua pingat perak dan dua pingat gangsa melalui acara wusyu, bola jaring dan polo.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyaksikan perlawanan polo antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia di Padang Polo, Inigo Zobel, Calatangan, Filipina hari ini. Berkenaan mengetuai pasukan polo negara ialah paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah yang memacu pasukan merangkul pingat gangsa, mengulangi kejayaan mereka di Kuala Lumpur, selepas kemenangan 5-4 ke atas Indonesia dalam playoff.

Manakala Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah pula mengetuai pasukan bola jaring yang turut memastikan pingat gangsa dalam genggaman.

Negara Brunei mula-mula memenangi pingat pertama melalui acara wusyu, dengan atlet wusyu Basma Lachkar meraih satu pingat perak bagi Kategori Taijiquan wanita manakala Hosea Wong meraih pingat perak Kategori Taijiquan lelaki. Bakat wusyu muda negara, Mohammad Adi Salihin bin Haji Roslan dalam pada itu menghampiri rangkulan pingat emas selepas dia mengetuai pusingan Nandao lelaki dengan jumlah mata 9.64, di hadapan peserta Vietnam, Quoc Khanh Pham dan Harris Horatius dari Indonesia.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat menyaksikan perlawanan polo Sukan SEA yang turut disertai oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dan YAM Pengiran Muda Bahar. – Gambar oleh Infofoto