Permulaan ekosistem baharu

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Setahun yang lalu, Inisiatif Sektor ICT Brunei telah diumumkan untuk memacu agenda digital negara dengan transformasi sektor itu adalah perlu bagi Brunei untuk melangkah bersama negara lain yang bergerak ke arah revolusi digital.

Sejak itu, DST, Progresif, TelBru dan UNN telah belajar antara satu sama lain dan bekerjasama membentuk masa depan mapan bagi industri dan negara.

“Berikutan kuat kuasanya inisiatif itu, DST telah bertransformasi menjadi organisasi dinamik dan pintar dalam era digital berusaha memenuhi keperluan pelanggan dan hari ini, kita telah memperkenalkan permulaan ekosistem baharu,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah yang juga selaku pengerusi DST semasa berucap merasmikan Datastream Digital (DST) di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei.

Turut melancarkan produk-produk serta pakej terbaharu DST ialah Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni.

Menurut Yang Berhormat Dato lagi, revolusi digital berlaku secara berterusan di mana kecanggihan dalam teknologi digital telah mentransformasikan cara kita hidup, bekerja dan bermain.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Radin Sufri semasa melancarkan Datastream Digital di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei. – Gambar oleh Bahyiah Bakir
Gambar ramai bersama Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew pada majlis pelancaran berkenaan.
Pengunjung melihat lebih dekat perkhidmatan yang ditawarkan di kaunter Eas!. – Gambar oleh Bahyah Bakir

Pada dasarnya, ujarnya lagi, transformasi ICT akan memperkasa penduduk Brunei dengan menyediakan mereka infrastruktur untuk mewujudkan kemungkinan bersama di sebalik apa yang ada masa ini.

Ia membolehkan penduduk memiliki hidup lebih bermakna dan kepuasan yang dibawakan oleh teknologi, selain membuka laluan untuk menjadi Negara Pintar dan berkembang maju.

Sementara itu, Radin Sufri yang turut menyampaikan ucapannya pada majlis itu, menekankan objektif utama DST untuk memberikan khidmat kepada masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

DST, katanya, telah merumus dan mengubah produk-produknya yang lama dan baharu bagi menambah baik perkhidmatan bagi para pelanggannya.

Beliau turut memperkenalkan pro-duk terbaharu DST yang mendukung kempen ‘Enable Limitless Connectivity, Everywhere’ menerusi Eas!, FREEDOM yang menggantikan GO!broadband, MOBI yang menggantikan Prima Pascabayar dan INFINITY.

Raden Sufri juga mendedahkan bahawa dalam tempoh beberapa bulan ke hadapan DST komited untuk memperkenalkan lebih banyak nilai melalui langganan yang lebih baik, kempen, dan ganjaran serta promosi bagi para pelanggannya dan semasa Karnival DST yang diadakan hujung bulan ini hingga awal Februari di Dewan BRIDEX 2, Jerudong.

Acara pada pagi itu telah dimeriahkan dengan lagu tema kempen bertajuk ‘Hello. Hello. Hello.’ yang dinyanyikan oleh artis tempatan, Zed Peace selaku duta muzikal bagi kempen DST berkenaan.

Hadir sama menyaksikan majlis perasmian itu ialah Majlis Mesyuarat Negara, ahli-ahli Lembaga Pengarah DST, ahli Jawatankuasa Eksekutif DST, media-media tempatan, guru-guru dari sekolah-sekolah terpilih dan para tetamu yang diundang.