Sunday, December 8, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pernah didera, dorong pelaku mendera – pakar

    KUALA LUMPUR – Sejarah lampau pernah didera, tekanan hidup serta masalah kewangan merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kes dera termasuk melibatkan majikan dan pembantu rumah, menurut pakar psikologi.

    Pakar psikologi dan kaunseling Access Consultants Dr Meriam Omar Din berkata individu yang pernah didera mempunyai kecenderungan melakukan perkara sama kepada individu lain apabila beliau mempunyai kuasa.

    “Segala faktor berkaitan yang didorong sifat panas baran keterlaluan dan emosi tidak terkawal turut mendorong berlakunya kes penderaan. Lebih memburukkan keadaan sekiranya si pelaku mempunyai sejarah lampau pernah didera.”

    “Istilah dera ini bukan hanya bermaksud dera fizikal tetapi mungkin pernah didera secara emosi. Sejarah pernah didera emosi lebih teruk daripada penderaan fizikal kerana kita tidak nampak bagaimana mangsa menderita,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Dr Meriam berkata demikian ketika diminta mengulas kes pembantu rumah, Adelina Lisio, 28, yang meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini, setelah dipercayai didera oleh majikannya di sebuah rumah di Bukit Mertajam.

    Dr Meriam Omar Din berkata individu yang pernah didera mempunyai kecenderungan melakukan perkara sama kepada individu lain apabila beliau mempunyai kuasa. – Gambar hiasan

    Menurut laporan, beberapa jiran mendakwa wanita berkenaan dipaksa tidur bersama seekor anjing jenis Rottweiler di anjung rumah selama lebih sebulan sebelum dia dihantar ke hospital.

    Mengulas lanjut, Dr Meriam berkata masyarakat perlu menjadi mata dan telinga dan mengambil sikap ‘menjaga tepi kain’ sekiranya berlaku perkara yang mencurigakan di kawasan kejiranan masing-masing.

    “Sudah tiba masanya masyarakat perlu kikis sikap ‘kebandaran’ iaitu tidak kisah apa berlaku terutamanya melibatkan jiran. Lebih memburukkan keadaan apabila ada yang lebih suka mengambil video atau gambar semata-mata untuk ditular dan bukan membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya.

    Dalam pada itu, Dr Meriam mencadangkan pihak kerajaan agar menambah baik prosedur pengambilan pembantu rumah dengan mewajibkan majikan menyediakan laporan kesihatan mereka serta maklumat peribadi.

    “Maklumat ini perlu untuk kita tahu sekiranya majikan itu pernah dipenjarakan atau ada sebarang kes lampau melibatkan jenayah,” katanya.

    Senada dengan Dr Meriam, pakar psikiatri Hospital Universiti Sains Malaysia Dr Maruzairi Husain berkata kaedah rawatan hanya boleh dilakukan dengan mengetahui punca berlakunya penderaan tersebut dan beliau menasihatkan masyarakat tidak terus menuding jari kepada pelaku.

    “Pelaku (majikan) bertindak agresif mungkin akibat provokasi pembantu rumah. Bila pelaku hilang kawalan, maka pelbagai bentuk serangan akan berlaku. Lebih buruk lagi sekiranya tiada sesiapa ketika kejadian bagi menenangkan situasi,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Sa’ad menyifatkan perbuatan mendera pembantu rumah oleh majikan sebagai tidak berperikemanusiaan dan melampaui batas.

    “Sebagai manusia tidak kira apa pegangan agama sekalipun, perbuatan menganiaya atau menyakiti orang lain adalah dilarang sama sekali kerana ia boleh menyebabkan kecederaan atau kematian,” katanya.

    Jelasnya lagi, golongan ini juga boleh dikategorikan sebagai psikopat kerana mampu menyeksa orang lain tanpa ada rasa bersalah dan simpati malah mereka mampu memanipulasikan fakta sebenar bagi mengelak diri daripada didakwa. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda