Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Perniagaan AS pemangkin penyaluran pelaburan ke ASEAN

    WASHINGTON, 15 MEI – Perniagaan-perniagaan Amerika Syarikat (AS) boleh memainkan peranan penting dan menjadi pemangkin dalam penyaluran pelaburan yang kritikal, memberikan kepakaran dan peralihan teknologi ke negara-negara anggota ASEAN.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa mewakili Negara Brunei Darussalam pada Mesyuarat Ketua-ketua Negara ASEAN bersama Peniaga-peniaga AS yang diadakan di Hotel Willard InterContinental, Washington DC, AS, baru-baru ini.

    Semasa perbincangan dasar mengenai tenaga, Yang Berhormat Dato mengetengahkan bahawa ASEAN dan AS telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Pelan Kerjasama Tenaga ASEAN-AS 2021-2025 dan Inisiatif Masa Depan Iklim ASEAN-AS.

    Beliau turut memaklumkan mengenai Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF), yang diterima pakai pada 2020 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-37, yang menekankan kepentingan tenaga mampan dan menggalakkan pertumbuhan hijau bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi rantau ini.

    Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa ASEAN telah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk menyelaras pasaran kapital di rantau ini dengan agenda kemapanan seperti Standard Bon Hijau ASEAN dan Standard Bon Kemapanan ASEAN serta memperkenalkan taksonomi ASEAN untuk kewangan mampan.

    Selain itu, Yang Berhormat Dato berpendapat bahawa terdapatnya peluang yang besar dalam pengeluaran modal daripada pihak swasta bagi pembiayaan pertumbuhan hijau.

    ASEAN juga aktif dalam mempromosikan ekosistem yang kondusif bagi menarik pelaburan yang mampan ke sektor ini.

    Dalam hubungan itu, katanya, perniagaan-perniagaan AS boleh memainkan peranan penting dan menjadi pemangkin dalam penyaluran pelaburan yang kritikal, memberikan kepakaran dan peralihan teknologi ke negara-negara anggota ASEAN.

    Turut hadir pada mesyuarat yang membincangkan mengenai isu-isu berkaitan dengan pasca pandemik pemulihan ekonomi masa hadapan khususnya bagi sektor tenaga, iklim dan digitalisasi itu ialah ahli-ahli perniagaan di AS yang bertujuan untuk meningkatkan kerjasama yang rapat di antara sektor kerajaan dan swasta di rantau ASEAN.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew mewakili Negara Brunei Darussalam pada Mesyuarat Ketua-ketua Negara ASEAN bersama Peniaga-peniaga AS yang diadakan di Hotel Willard InterContinental, Washington DC, AS. – Gambar oleh Infofoto
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...