Perniagaan di England kembali beroperasi

LONDON, 15 JUN – Susulan penarikan semula perintah berkurung akibat pandemik COVID-19, pelbagai kedai dan tarikan luar di England dibuka semula bermula hari ini.

Ribuan premis perniagaan seperti kedai buku dan barangan elektronik berharap dikunjungi pelanggan sebaik sahaja beroperasi, selepas terpaksa ditutup buat seketika sejak Mac lalu.

Selain itu, tempat bersantai seperti taman safari, bahagian luar zoo dan panggung wayang pandu lalu kembali dibuka. Malah, rumah ibadat turut dibenarkan beroperasi.

Semua premis berkenaan bagaimanapun perlu mematuhi peraturan penjarakan sosial, yang memerlukan orang ramai berada dalam jarak sekurang-kurangnya dua meter antara satu sama lain, selain dinasihatkan memakai penutup mulut dan hidung ketika berada di dalam bangunan.

Menteri Kewangan, Rishi Sunak berkata orang ramai tidak perlu bimbang dan menegaskan keadaan kini sudah selamat untuk keluar dari rumah.

“Saya tahu orang ramai bimbang. Ia pengalaman yang sedikit berbeza, namun selamat dan kita perlu keluar serta tahu bahawa kita mampu membeli belah dengan penuh yakin,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pemakaian penutup mulut dan hidung diwajibkan kepada semua yang menggunakan pengangkutan awam dan ope-rator dibenarkan untuk menyekat pengguna yang gagal mengikuti arahan.

Untuk rekod, kedai di sektor perkhidmatan tidak penting di Ireland Utara kembali dibuka pada Jumaat, namun Scotland dan Wales masih belum memutuskan untuk berbuat demikian. – AFP

Pengunjung memakai penutup mulut dan hidung melihat hasil seni dalam firma Sotheby’s yang dibuka semula di London kelmarin. – AFP